Pada bulan September tahun lepas, PUBG Mobile telah menjadi antara permainan yang diharamkan di India dengan alasan keselamatan dan juga privasi data pemain. Selepas pengumuman tersebut, Krafton telah mengumumkan yang mereka akan mencari penerbit tempatan untuk menyelia permainan tersebut di India berbanding Tencent untuk kebanyakan pasaran.

Hari ini, tampaknya mereka telah mengumumkan secara rasmi mengenai permainan yang akan menggantikan PUBG Mobile di negara tersebut iaitu Battlegrounds Mobile India. Anda boleh tonton treler pengumuman di bawah.

Battlegrounds Mobile India dikatakan akan menawarkan kualiti permainan bertaraf dunia untuk peranti pintar, akan mempunyai acara tersendiri. Ia juga akan mempunyai ekosistem esukan tersendiri dengan pengajuran pelbagai kejohanan dan juga liga.

Bagi menyelesaikan masalah ia diharamkan sebelum ini, Krafton juga mengatakan yang privasi dan juga keselamatan data adalah perkara yang penting untuk mereka. Oleh itu, mereka akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi tempatan untuk memastikan ia mengikuti segala undang-undang dan peraturan di India.

Buat masa ini tidak disahkan lagi bila ia dilancarkan, tetapi akan terus menjadi permainan percuma untuk dimainkan dan mempunyai pembelian di dalam aplikasi.

Ini bukanlah pertama kali, PUBG Mobile dilancarkan dengan judul lain di negara tertentu, di China ia dikenali sebagai Peacekeeper Elite/Game for Peace. Seperti permainan tersebut, Battlegrounds Mobile India juga akan menyertakan fungsi keselamatan tambahan seperti memerlukan nombor telefon untuk pendaftaran dan juga jumlah masa bermain serta perbelanjaan akan dihadkan.

Sohor Kini