Pada tahun 2018, PlayStation telah membuat kejutan apabila mengumumkan yang mereka membuka fungsi rentas platform di konsol mereka untuk permainan Fortnite. Pada masa itu, ramai yang mengagak, PlayStation telah mengalah dengan permintaan pemain, namun berdasarkan dokumen baharu yang diperlihatkan semasa pembicaraan Apple dan Epic Games, Sony membuka fungsi tersebut selepas Epic Games bersetuju untuk membayar pampasan.

Berdasarkan dokumen tersebut, Epic Games telah menawarkan pelbagai perkara untuk membolehkan fungsi rentas platform disertakan di dalam Fortnite di PlayStation 4 termasuk juga menjadikan ia seakan-akan keputusan Sony, Epic Games akan mengeluarkan permainan untuk PSVR dan juga kandungan tambahan untuk pelanggan PS Plus.

Namun, perkara tersebut masih tidak mengubah pendirian Sony untuk tidak menawarkan fungsi rentas platform dan merasakan pemain PlayStation sahaja sudah mencukupi. Tiada dokumen tambahan sebelum Sony akhirnya bersetuju, akan tetapi satu lagi dokumen yang disertakan adalah untuk membuka fungsi rentas platform, Epic Games perlu membayar Sony pampasan, kiraan adalah seperti berikut.

Berdasarkan kiraan ini, jika pendapatan sesuatu permainan di konsol PlayStation adalah kurang berbanding keseluruhan pendapatan, sedangkan kebanyakan pemain bermain di konsol mereka, penerbit permainan tersebut perlu membayar “Perkongsian Pendapatan Rentas-Platform” kepada Sony.

Polisi ini mungkin diguna pakai terlebih dahulu oleh Epic Games, akan tetapi Sony juga telah membuka fungsi rentas platform mereka kepada pelbagai permainan lain yang berkemungkinan besar tertakluk kepada polisi yang sama. Epic Games juga telah mengesahkan yang mereka membayar Sony untuk membolehkan fungsi rentas platform, sesuatu yang tidak diperlukan di platform lain.

Sohor Kini