Seperti diumumkan pada Oktober tahun lepas, kes ‘pergaduhan’ di antara Apple dan Epic Games memulakan pembicaraan mereka di Mahkamah pada bulan ini, dan ia sudah-pun bermula semalam. Epic Games selaku plaintif telah membuka pembicaraan tersebut dengan kenyataan pembukaan.

Kenyataan Pembukaan Epic Games

Antara yang diperkatakan oleh peguam Epic Games adalah peranti pintar merupakan keperluan oleh semua, oleh kerana itu ia penting untuk iOS mempunyai pasaran yang lebih terbuka, pasaran tidak akan berfungsi jika ia tidak dibuka. Mereka juga mengesahkan yang NVIDIA dan Microsoft akan memberi keterangan mengenai perkara ini.

Sebagai jawapan kepada alasan yang diberikan oleh Apple iaitu iOS ditutup atas tujuan keselamatan, Epic Games mengatakan ia bukan alasan yang kukuh kerana MacOS juga mempunyai keselamatan yang tinggi tetapi ia masih boleh berfungsi dengan mempunyai pasaran yang terbuka.

Mereka juga mengatakan yang Apple mengambil potongan sebanyak 30% adalah tidak berdasarkan kajian pasaran, sebaliknya menetapkan perkara tersebut kerana mereka menyedari jumlah wang yang boleh diperoleh. Epic Games mengeluarkan kenyataan yang “perniagaan yang menetapkan harga tanpa mengambil kira kos adalah monopoli”.

Epic Games mengakhiri kenyataan pembukaan mereka dengan sekali lagi inginkan iOS beroperasi seperti MacOS, walaupun mempunyai App Store tersendiri tetapi masih terbuka untuk semua, mereka juga menegaskan yang kebanyakan perniagaan dan pembangun aplikasi akan mengalami kerugian jika mereka meninggalkan platform iOS bahkan menurut kajian, walaupun Apple meningkatkan harga, mereka terpaksa menerimanya.

Kenyataan Pembukaan Apple

Apple selaku defendan juga telah memberikan kenyataan pembukaan mereka, mereka memulakan dengan mengatakan perniagaan App Store telah membuka peluang kepada pelbagai jenis perniagaan, dan mereka hanya hadir dengan App Store selepas mendapat desakan daripada pembangun untuk mengeluarkan aplikasi bagi iPhone.

Apple juga mengatakan yang selain menawarkan aplikasi di App Store, ramai pembangun juga telah mengguna pakai teknologi yang disediakan oleh Apple. Mereka menggunakan contoh di mana Epic Games sendiri telah memuji perisian Metal oleh Apple. Metal adalah perisian untuk membangunkan aplikasi terutamanya permainan video untuk peranti Apple.

Apple kemudian mengatakan yang Epic Games tidak inginkan pasaran terbuka, sebaliknya mereka inginkan perjanjian khusus di antara mereka tanpa mengambil kira pembangun-pembangun lain. Mereka juga mengatakan yang penetapan 30% potongan adalah berdasarkan apa yang dilakukan oleh Steam dan ia juga menjadi ikutan untuk gedung aplikasi oleh Google iaitu Play Store.

Mereka juga cuba mengatakan yang tiada bukti yang Apple memonopoli pasaran, menurutnya, V-Bucks untuk Fortnite boleh dibeli menggunakan platform lain, termasuk juga melalui pelayar di dalam iPhone, bahkan walaupun Fortnite sudah tidak disertakan di iPhone, permainan tersebut masih lagi menjana pendapatan yang tinggi.

Apple mengakhiri kenyataan pembukaan mereka dengan mengatakan perbezaan kegunaan di antaran iOS dan MacOS membawa perbezaan dari segi keselamatan dan Phil Schiller bekas Naib Presiden untuk Apple akan memberikan kenyataan beliau mengenai perbezaan di antara dua sistem operasi tersebut. Apple juga mengatakan yang Epic Games mempunyai masalah dengan potongan 30% oleh Apple tetapi tidak untuk perkara yang sama dilakukan oleh Xbox, PlayStation dan juga Nintendo.


Berdasarkan penjadualan, pembicaraan untuk kes ini dijangka akan mengambil masa selama 3 minggu jika tidak mempunyai sebarang masalah. Oleh itu sebarang keputusan masih lagi mengambil masa yang lama. Namun, sementara itu kita mungkin akan mendapat pelbagai informasi berkait dengan perniagaan Apple dan juga Epic Games apabila ia didedahkan semasa pembicaraan ini kelak.

Sumber: Input Mag (Twitter)

Sohor Kini