Taika Waititi adalah seorang yang serba boleh. Pengarah, penerbit dan juga berlakon semuanya beliau boleh lakukan. Tetapi satu yang sama adalah, mana-mana watak yang beliau mainkan – semua orang pasti akan tahu yang itu adalah Taika Waititi. Beliau gemar memainkan watak yang lucu, aneh, gila dan banyak lagi.

Filem yang pada hemat aku beliau berjaya bawakan dengan baik adalah Hitler dalam Jojo Rabbit. Ia adalah satu versi yang berbeza. Lucu dan masuk air. Lihat sahajalah beliau dalam filem Thor, memainkan watak Korg. Episod The Mandalorian yang paling lucu, beliau arahkan. Banyak lagilah yang akan buatkan anda tertanya dan terkejut, ‘eh, itu Taika ke?’. Our Flag Means Death adalah siri TV terbaru yang beliau sertai sebagai pengarah, pelakon dan juga penerbit yang akan disiarkan di HBO Max.

Dalam siri TV ini, beliau disahkan akan memainkan watak Blackbeard iaitu adaptasi watak lanun legenda. Menurut salah seorang penerbit siri TV ini, iaitu David Jenkins – perwatakan Blackbeard oleh Taika adalah satu watak yang legenda, penyayang, mahir dalam taktikal, berjiwa puisi da juga masuk air. Dengar sahaja penjelasan ini, sudah tentu Taika adalah individu yang layak.

Siri TV ini dikatakan adalah inspirasi daripada kisah benar pemngembaraan Stede Bonnet, iaitu seorang yang kaya-raya berubah menjadi lanun dan dikenali sebagai The Gentleman Pirate.

Sudah semestinya, watak beliau akan berbeza dengan Blackbeard dalam filem Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides – di mana Ian McShane berlakon sebagai lanun ini. Bagaimanakah watak beliau? Adakah gila dan lucu seakan Johnhy Depp? Atau adakah Taika Waititi akan menjadi pelakon lanun sehebat J. Depp? Sama-sama kita nantikan.

Beberapa kandungan asli HBO Max secara berperingkat sudah mula disiarkan di HBO Go untuk pengguna Malaysia. Harapnya, siri TV ini turut akan ditawarkan di sini.

Sohor Kini