Frictional Games minggu ini mengumumkan yang Mod Pengembaraan untuk Amnesia: Rebirth telah dikeluarkan di PlayStation 4 dan PlayStation 5. Mod tersebut sebelum ini sudah dikeluarkan untuk PC. Selain itu, versi PS5 juga menerima kemaskini untuk mempertingkatkan kualiti grafik termasuk juga kadar kelancaran 60FPS.

Melalui Mod Pengembaraan, pemain boleh bermain sepenuhnya Amnesia: Rebirth, segala watak dan penceritaan akan disertakan seperti biasa, akan tetapi ia tidak akan menyertakan ‘hantu’ ataupun penjahat dan juga apa-apa perkara yang menyeramkan. Mod ini sesuai untuk pemain yang ingin melalui penceritaan tetapi tidak gemar permainan seram.

Amnesia: Rebirth sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan juga PC pada akhir tahun lepas. Ia merupakan permainan ketiga untuk siri Amnesia selepas The Dark Descent dan A Machine for Pigs.

Sohor Kini