Bagi saya, dan mungkin juga ramai pemain di luar sana tertanya-tanya apakah Returnal? Semasa ia diumumkan, ia memberikan gambaran mengenai permainan ini tetapi pada masa sama tidak menjawab sepenuhnya. Selepas ia diperlihatkan dengan lebih lanjut, termasuk juga melalui pandang pertama, saya mula faham apa yang kita boleh jangkakan daripada permainan ini. Sekurang-kurangnya itu lah yang saya rasakan sebelum mencubanya.
Selepas hampir 30 jam bermain, dan mati saya tidak “menghabiskan” permainan ini lagi, dan masih terdapat pelbagai kandungan yang menanti. Namun, Housemarque menegaskan yang permainan ini tidak akan berakhir dan ingin menjadikan ia satu permainan yang tidak akan berhenti dan itulah yang akan diperoleh oleh pemain.
Selene dan White Shadow
Returnal bermula dengan seorang angkasawan, Selene sedang mengemudi kapal angkasa, dia cuba menyiasat satu isyarat “White Shadow” di planet Atropos. Oleh kerana masalah tertentu, dia tidak berjaya mendarat yang baik, sebaliknya terhempas. Dengan tiada cara untuk membaiki kapalnya, dia memilih untuk terus bergerak dan mencari sumber untuk isyarat tersebut. Memasuki kawasan pertama selepas tempat dia terhempas, Selene menjumpai mayat angkasawan yang sudah mati. Dia cuba memeriksa untuk mengetahui identiti lanjut dan mendapati angkasawan tersebut adalah dirinya sendiri. Keliru dengan apa yang berlaku, Selene kemudiannya menjumpai satu log audio dari tidak lain dan tidak bukan dirinya sendiri.
Log audio tersebut dengan ringkasnya menerangkan apa yang akan berlaku di dalam permainan ini, dan juga merupakan bentuk permainan utama untuknya – selagi Selene tidak menjumpai isyarat White Shadow tersebut, dia akan terperangkan di Atropos seperti diri-dirinya sebelum ini. Setiap kali Selene terbunuh, dia akan mengalami semula pendaratan cemas sebelum ini dan begitulah kitaran untuk Returnal. Dalam pencarian White Shadow tersebut saya perlu melalui pelbagai kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai alien yang mempunyai bentuk serta serangan berbeza. Housemarque melakukan satu kerja yang baik untuk menghasilkan pelbagai variasi alien ini, dan ia benar-benar menggerunkan.
Pengembaraan dan Pertempuran
Selain pistol biasa yang akan diperoleh pertama kali oleh Selene, pelbagai jenis senjata lain juga boleh didapati. Walaupun, bentuk-bentuk senjata tersebut lebih “fiksyen sains” akan tetapi ia direka berdasarkan senjata-senjata biasa seperti pistol, shotgun, assault rifle ataupun rifle. Selain jenis senjata yang berbeza, setiap senjata juga mempunyai kelebihan tersendiri walaupun jika dibandingkan dengan jenis yang sama. Tambahan itu terdapat juga Alt-Fire iaitu tembakan berlainan berbanding tembakan biasa dan ia juga mempunyai jenis-jenis berbeza. Contohnya tembakan partikel yang banyak ataupun serangan kejutan elektrik. Sepanjang permainan, Selene juga akan memperoleh pedang untuk serangan jarak dekat, serta untuk menghancurkan bongkah dan juga mengakses kawasan-kawasan tertentu dan juga Grapple Hook.
Selain itu, terdapat juga perkara-perkara lain yang akan memberikan anda kebolehan tambahan, antaranya adalah Artifact yang apabila diambil akan memberi kelebihan seperti Alt-Fire boleh digunakan dengan lebih cepat ataupun mempunyai pelindung yang lebih tinggi. Terdapat juga Consumable yang mempunyai satu kegunaan sahaja, contohnya memperbaiki ‘suit intergrity’ (ataupun nyawa di dalam konsep permainan biasa). Seterusnya adalah Parasite, ia berfungsi seperti Artifact akan tetapi ia akan juga memberi kesan negatif yang kekal. Contohnya, parasite untuk akan mempertingkatkan kuasa serangan, akan tetapi setiap kali Selene menukar senjata baharu ia akan memberi kesan kepada suit intergrity.
Mengambil konsep yang sama dengan parasite, adalah Malfunction, ia adalah kesan negatif rawak yang dikenakan kepada Selene selepas mengambil barangan yang terkesan dengan Malignant. Setiap barangan seperti senjata, artifact, bongkah ataupun barangan-barangan untuk mempertingkatkan suit intergrity dan juga peti sendiri boleh menjadi malignant dan akan memberi kesan negatif contohnya senjata kurang berkuasa jika suit integrity lebih rendah daripada 30%. Berbeza dengan parasite yang memberi kesan negatif kekal, malfunction boleh diperbaiki dengan melakukan “misi sampingan” ringkas contohnya Fabricate satu barang.
Mengisi peta, terdapat pelbagai peralatan yang boleh membantu untuk setiap kitaran. Antara peralatan tersebut boleh memperbaiki sepenuhnya suit intergrity, ada yang akan memberi kerosakan yang besar tetapi akan memberi artifact yang baik, terdapat fabricator yang boleh menghasilkan artifact ataupun consumable dengan menukarkan Obilite. Bagi saya paling berguna adalah Reconstructor yang memerlukan Ether, dengan menggunakannya apabila Selene mati, berbanding kembali ke kapal, pemain akan kembali ke tempat tersebut dan diberikan “peluang kedua”.
Anda mungkin tertanya apakah itu Obolites dan Ether, kedua-duanya adalah currency di dalam permainan ini untuk mendapat pelbagai barangan ataupun menggunakan peralatan. Obolites diperoleh dengan membunuh alien ataupun menghancurkan bongkah untuknya. Manakala Ether adalah collectible yang lebih sukar untuk diperoleh akan tetapi ia akan terus kekal walaupun Selene mati selagi mana ia tidak digunakan. Satu perkara yang menjadikan Returnal satu permainan yang sukar adalah setiap kali Selene mati, setiap senjata serta kelebihan yang diperoleh melalui artifact, consumable, parasite akan hilang. Perkara yang terus kekal hanyalah pedang, grappling hook dan juga Ether.
Pengalaman Generasi Baharu
Konsep ini adalah satu konsep yang biasa untuk genre roguelite, namun, Returnal menyertakan rekaan permainan yang sangat berkualiti yang membawa pengalaman baharu kepada genre ini. Berikut adalah antara perkara yang bagi saya menjadikan Returnal satu permainan yang berbeza dan sangat baik;
Pertama adalah rekaan Biomes, walaupun Returnal berlaku di planet Atropos akan tetapi ia mempunyai pelbagai rekaan dunia yang berbeza. Saya tidak akan memberitahu jumlah biomes yang ada, jika anda ingin tahu, saya merasakan ia akan dikongsikan oleh ulasan lain ataupun penulisan panduan, akan tetapi saya boleh katakan setiap-nya direka dengan unik memberi satu pengalaman baharu, contohnya adalah dua biomes pertama iaitu Overgrown Ruines yang mempunyai rekaan hutan dan Crimson Wastes pula padang pasir. Ini ditambah lagi, saya meluangkan berjam-jam di satu tempat, apabila berjaya beralih ke tempat yang baharu ia akan memberi sedikit perasaan lega dan kepuasan. Setiap biomes akan mempunyai rekaan kawasan yang berbeza dan juga penjahat tersendiri. Ia juga hadir dengan pertempuran bos tersendiri. Hanya selepas mengalahkan bos tersebut sahaja baru anda dapat mengakses ke biomes yang seterusnya. Walaupun selepas setiap kematian anda akan kembali ke kawasan pertama, selepas mendapat akses pertama kali, untuk mengakses biomes tersebut selepas mati akan menjadi lebih senang.
Kedua adalah rekaan pertempuran yang sangat baik, walaupun ia memfokuskan kepada pergerakan yang pantas seperti berlari dan juga dash, ditambah lagi grappling hook apabila ia diperoleh. Ia sangat mencabar, tetapi pada masa sama tiada perasaan tidak adil ataupun “cheap shot”. Ia mungkin sedikit menyusahkan apabila di kawasan sempit, akan tetapi ia adalah mengapa saya tidak boleh berhenti dan perlu sentiasa bergerak. Setiap alien biasanya mempunyai dua atau tiga serangan berbeza dan ada juga yang akan melakukan serangan jarak dekat. Mengetahui corak serangan ini akan membantu untuk mengelak dan juga bertindak balas. Terdapat juga tahap Andrenaline yang akan bertambah dengan setiap pembunuhan akan tetapi akan kembali mejadi kosong apabila terkena apa-apa serangan. Ia akan memberi pelbagai kelebihan seperti penambahan serangan dan juga melihat dengan lebih mudah.
Ketiga adalah kepelbagaian pilihan senjata, artifact, consumable dan juga parasite telah menjadikan setiap kitaran permainan berbeza dengan sebelum ini. Saya mempunyai senjata kegemaran, akan tetapi saya tidak semestinya akan mendapat senjata tersebut oleh itu terpaksalah menyesuaikan diri dengan apa yang ada. Walaupun saya sudah berpuluh kali bermain di tempat yang sama, jarang ia memberikan saya sesuatu yang sama ataupun lebih kurang. Ia sering membawa pengalaman yang baharu.
Keempat, hadirnya konsep parasite dan juga malfunction juga menjadikan permainan ini memfokuskan kepada risiko dan ganjaran. Sebelum mengambil parasite ataupun menggunakan barangan terkesan malignant adakah saya ingin mengambil risiko ini, ataupun meninggalkannya. Risiko dan ganjaran ini juga menjadi fokus untuk pengembaraan. Dengan sistem peta yang disertakan, saya boleh mengetahui arah yang tepat untuk menuju ke destinasi utama akan tetapi saya juga boleh memilih untuk pergi ke tempat lain dengan harapan mendapat senjata yang lebih baik ataupun Artifact yang lebih berguna. Pilihan-pilihan ini membantu untuk menjadikan permainan ini unik akan tetapi ada masa saya merasakan terdapat terlalu banyak risiko yang membuatkan sesi tersebut sangat menyusahkan.
Kelima adalah penceritaan yang menarik, walaupun Selene berada secara berseorangan di planet ini akan tetapi penceritaan masih disampaikan melalui log audio, beberapa adegan dan juga “Rumah”. Penceritaan memfokuskan kepada pelbagai misteri seperti planet Atropos, penduduk asal planet tersebut yang tampaknya ramai terbunuh, mengenai kitaran yang berlaku, dan juga mengenai kehidupan Selene sendiri. Saya boleh katakan Returnal adalah salah satu permainan yang sangat ternanti-nanti untuk mendapat log audio yang seterusnya. Manakala bagi adegan Rumah, ia benar-benar memberi pengalaman berbeza di dalam penceritaan dan menambah lagi misteri untuknya.
Keenam, penggunaan audio dan DualSense yang menggambarkan permainan generasi baharu. Kita sudah memasuki era konsol baharu akan tetapi buat masa ini tidak banyak permainan yang betul-betul mengambil kesempatan daripadanya. Astro Boy melakukan kerja yang baik untuk memperlihatkan fungsi-fungsi menarik yang hadir di PS5 terutama DualSense, akan tetapi Returnal saya boleh katakan permainan ‘sebenar’ yang menggunakannya dan Housemarque telah melakukannya dengan baik sekali. Saya boleh katakan pengenalan kepada permainan ini, semasa adegan Selene berada di atas kapal angkasa rekaan bunyi dan getaran haptik di DualSense memberi satu perasaan yang sangat mendalam, permainan tidak bermula lagi tetapi saya sudah mengatakan ‘wow’.
Penggunaan 3D Audio dilakukan dengan sangat mendalam, setiap bunyi dapat didengari dengan jelas dan pada masa sama memberi perasaan yang seram kerana anda akan dengar macam-macam bunyi dari pelbagai arah. Ia juga berfungsi dengan menggunakan set fon kepala yang biasa. Returnal adalah permainan pantas, dan ada masa saya tidak mengetahui kedudukan sesuatu alien akan tetapi saya boleh mendengarnya dan dapat mengelak walaupun tidak nampak. Manakala DualSense pula menggunakan haptik dengan baik dan tidak terasa sekadar satu gimik, anda akan merasa getaran yang “bersesuaian” untuk hujan ataupun membuka pintu. Adapative Trigger juga digunakan dengan baik, contohnya anda boleh melakukan tembakan biasa dan tembakan Alt-Fire menggunakan butang yang sama, iaitu anda akan tekan sedikit L2 untuk tembakan biasa dan tekan sepenuhnya untuk Alt-Fire. Ia akan mempunyai sedikit pemberat untuk menghalang daripada anda tersalah melakukan Alt-Fire.
Keenam-enam perkara di atas telah membantu untuk saya meneruskan sesi permainan ini walaupun beberapa kali terasa geram dan terasa jengkel dengan apa yang berlaku sebelum ini. Ia juga berjaya untuk merealisasikan hajat Housemarque untuk menghasilkan permainan roguelite dengan kualiti AAA, malangnya saya merasakan yang walaupun ia mungkin adalah permainan roguelite dengan grafik serta pengalaman terbaik tetapi sistem yang digunakan mungkin terlalu menghukum untuk sesetengah pemain termasuk saya sendiri. Oleh kerana itu, saya merasakan ramai pemain yang akan mencuba permainan ini tidak dapat melihat kesemua perkara yang cuba di bawa yang bagi saya satu perkara yang sangat dikesali. Ia juga mungkin akan menarik minat pemain yang tidak menyukai genre ini, akan tetapi ia tidak akan membuatkan mereka berubah fikiran.
Hanya Untuk Yang Sabar
Masalah utama permainan ini bagi saya adalah akan terdapat terlalu banyak sesi permainan yang tidak membawa apa-apa nilai tambah kerana tidak banyak perkara yang boleh dibawa ke sesi berikutnya. Satu-satunya adalah Ether yang bagi saya penggunaan terlalu terhad untuk benar-benar memberikan kelebihan kepada sesi baharu. Saya lebih menyukai konsep yang disertakan di dalam Hades, walaupun sesi gagal tetapi ia tidak terasa terlalu merugikan kerana masih terdapat perkara yang boleh membantu sebelum sesi seterusnya bermula lagi. Apa yang disertakan di dalam Returnal bagi saya sedikit kedekut.
Manakala bagi perkara yang berkait dengan risiko dan ganjaran, ada masa risiko yang disertakan terlalu berat menyebabkan ganjaran yang diberikan tidak berbaloi. Ia dilakukan secara rawak, oleh itu ada masa keseimbangan tersebut menjadikan ia kurang menarik. Saya juga merasakan jika dipermudahkan sikit untuk saya mendapatkan consumable contohnya untuk memperbaiki suit integrity, ia akan memberikan lebih ruang untuk saya mengembara dan juga mencuba sesuatu yang lebih berisiko. Namun, oleh kerana ini adalah pilihan Housemarque, saya rasakan ia mungkin membawa keseronokan untuk kebanyakan pemain lain, bahkan menjadikan ia satu permainan yang lebih baik, walaupun tidak untuk saya.
Oleh itu saya merasakan yang Returnal adalah permainan yang memerlukan kesabaran yang tinggi, akan terdapat banyak perkara yang menjengkelkan, perkara yang merasakan membuang masa dan pelbagai lagi, beberapa kali saya sendiri ingin terus berhenti bermain akan tetapi selepas mencapai satu kejayaan ia akhirnya akan memberi kepuasan. Tambahan itu, jika anda mahir bermain permainan yang perlu bergerak pantas, ada kemungkinan ia akan menjadi permainan yang mudah untuk anda kerana kebanyakan serangan memfokuskan kepada perkara tersebut.
Selain sesi permainan biasa, terdapat juga cabaran harian yang boleh diakses melalui terminal di kapal angkasa Selene yang terhempas. Melaluinya ia akan menyertakan beberapa perubahan, contohnya anda boleh melakukannya serangan dengan Dash ataupun melee akan menjadi kurang berkuasa. Anda akan melalui kawasan biasa permainan tetapi dengan penjahat yang lebih banyak dan cuba mendapatkan markah tertinggi. Markah bergantung kepada jumlah bunuh, jumlah damage yang diperoleh, kawasan yang diteroka dan juga barangan yang diambil. Ia adalah perkara yang baik untuk anda lakukan di perantaraan ataupun semasa ingin bermain tanpa tekanan tambahan ia juga memberi Ether sebagai ganjaran. Anda juga boleh menguji kemahiran melalui leaderboard yang disediakan.
Rumusan
Returnal mempunyai pelbagai perkara yang menjadikan ia satu permainan yang sangat berkualiti. Rekaan grafik dengan pelbagai jenis biomes yang unik menjadikan ia satu permainan yang menarik untuk diteroka. Kepelbagaian senjata serta barangan dan sistem risiko dan ganjaran yang digunakan juga menjadikan setiap sesi permainan adalah berbeza dengan sebelum ini dan sukar untuk pemain jangkakan apa yang akan berlaku seterusnya. Penceritaan yang mendalam dengan pelbagai lapisan misteri menjadikan ia perkara yang dinantikan untuk pendedahan ataupun penceritaan selanjutnya. Penggunaan kelebihan PlayStation 5 seperti 3D Audio dan DualSense juga akhirnya memperlihatkan apa yang boleh dilakukan fungsi-fungsi tersebut.
Namun, hadirnya sistem roguelite yang agak menghukum serta kedekut, dan pemain perlu bermula dengan tanpa sebarang kelebihan walaupun sudah bermain untuk jangka masa yang lama, mungkin membuatkan ramai pemain yang tidak cukup sabar untuk meneruskan lagi sesi permainan dan mengakibatkan banyak perkara yang tertinggal. Jika pemian tidak menyukai genre ini, Returnal tidak akan mengubah persepsi tersebut akan tetapi jika pemain yang inginkan cabaran serta menyukai genre ini, ia adalah permainan dengan kualiti terbaik dan mengangkat genre ini memasuki arena permainan AAA.
Penafian: Kod permainan Returnal disediakan oleh SIES bagi tujuan ulasan ini. Returnal akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 30 April 2021.