Lost Soul Aside merupakan permainan yang dibangunkan oleh studio pembangunan dari China iaitu Ultizero Games. Ia merupakan antara permainan di bawah China Hero Project oleh Sony Interactive Entertainment. Ia diumumkan sejak tahun 2017 lagi, dan berita terakhir mengenainya adalah pada awal tahun lepas di mana mereka menyasarkan permainan tersebut akan dikeluarkan pada tahun 2020.

Selepas itu, tidak banyak dikongsikan mengenainya. Bahkan mereka sudah-pun terlepas tarikh jangkaan tersebut. Minggu ini, Ultizero Games akhirnya berkongsi maklumat baharu mengenainya dan mengesahkan yang permainan tersebut masih dibangunkan melalui video 18 minti yang memperlihatkan bentuk permainan.

Video tersebut dikongsi oleh Yang Bing iaitu satu-satunya pembangun untuk permainan ini, sebelum mereka menambah jumlah pembangun dan membentuk studio Ultizero Games. Video tersebut memperlihatkan watak utama Kazer bersama dengan satu magis yang berbentuk ‘naga’, walaupun bukan naga sebaliknya ia boleh berubah bentuk menjadi pedang dan juga slider.

Ia juga memperlihatkan perlawanan di mana Kazer boleh melakukan serangan menggunakan pedang ataupun menggunakan magis naga tersebut. Ia memperlihatkan Kazer bertempur dengan satu watak yang merupakan ahli ‘church’ dan juga pelbagai jenis raksasa.

Menurut akaun Twitter rasmi permainan ini, mereka masih tidak mempunyai tarikh baharu untuk pelancaran, dan berterima kasih kepada peminat yang sabar menunggu mengenai perkembangan terbaru untuk permainan tersebut.

Sohor Kini