Acara anugerah Oscars berlangsung semalam, dan kami ada melaporkan mengenai pemenang-pemenang anugerah tersebut. Akan tetapi, terdapat satu statistik cukup menarik yang sekarang diketahui oleh orang ramai, iaitu mengenai jumlah penonton anugerah tersebut.

Sejumlah laman berita melaporkan bahawa berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, jumlah penonton anugerah Oscars 2021 hanyalah seramai 9.8 juta orang sahaja secara global, yang memperlihatkan penurunan sekitar 50 peratus apabila dibandingkan dengan tahun sebelum ini.

Sebagai perbezaan, The Game Awards tahun lepas dilaporkan mempunyai seramai 83 juta penonton secara global, yang mencatatkan peningkatan jumlah penonton sebanyak 84 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Adakah ini satu penanda bahawa populariti siri filem dan televisyen semakin mengalah kepada industri permainan video? Tajuk-tajuk permainan video seperti The Last of Us, Ghost of Tsushima, Horizon: Zero Dawn, Uncharted dan sebagainya juga mempunyai jalan cerita yang cukup mengasyikkan, ditambah pula dengan corak permainan yang dinamik untuk pengalaman keseluruhan yang sangat mengujakan.

Pada pendapat anda, adakah anugerah Oscars akan memperlihatkan penurunan penonton lagi pada tahun hadapan?

Sohor Kini