CD Projekt hari ini telah melakukan pengumuman untuk prestasi kewangan mereka untuk tahun 2020, yang sebelum ini kami laporkan mereka mencatat rekod bagi jumlah pendapatan dan juga keuntungan. Ia adalah selepas prestasi yang baik untuk Cyberpunk 2077 walaupun mempunyai pelbagai masalah.

Mereka telah mengumumkan yang sepanjang tahun 2020, Cyberpunk 2077 telah terjual melebihi 13.7 juta unit, mereka tidak mengesahkan akan tetapi ia berkemungkinan jumlah selepas menolak pembayaran balik. Daripada jumlah tersebut, 73% adalah secara digital dan selebihnya secara fizikal. Cyberpunk 2077 dikeluarkan pada bulan Disember 2020.

Manakala untuk platform pula, PC mendahului dengan 56% ataupun 7.67 juta unit, diikuti 28% di PlayStation 4 iaitu 3.84 juta unit dan 17% di Xbox One ataupun 2.33 juta unit. Perbezaan ketara di antara digital dan fizikal serta platform ini mungkin berkait dengan Sony dan Microsoft menawarkan pembayaran balik untuk permainan tersebut.

Cyberpunk 2077 buat masa ini masih tidak mencapai tahap yang dijanjikan, selain itu Sony juga masih tidak menyenaraikan semula permainan tersebut di PS Store. Namun, CD Projekt telah mengesahkan yang ia akan terus menjadi permainan penting dan mereka tidak akan meninggalkannya selagi ia tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Sohor Kini