Selain berita baik Epic Games Store menawarkan permainan menggunakan mata wang Ringgit Malaysia, minggu ini mereka juga menawarkan dua permainan percuma iaitu Alien: Isolation dan Hand of Fate 2. Permainan ini boleh ditebus bermula sekarang sehingga 29 April 2021.

Alien: Isolation adalah permainan aksi pengembaraan yang memfokuskan kepada menyelinap dan juga seram. Pemain akan mengawal Amanda Ripley dan perlu menyiasat mengenai apa yang berlaku di satu space station. Ia dibangunkan oleh Creative Assembly dan diterbitkan oleh Sega sejak tahun 2014. Pada akhir tahun lepas, Epic Games Store sudah menawarkannya secara percuma tetapi untuk sehari sahaja, jika anda terlepas ini adalah masa untuk mendapatkannya.

Hand of Fate 2 merupakan permainan aksi pengembaraan tetapi berdasarkan kad, pemain akan menerima dek kad dan perlu menggunakannya untuk melalui pelbagai halangan termasuk juga bertempur. Ia dikeluarkan pada tahun 2017 dan merupakan permainan susulan kepada Hand of Fate yang tiba pada tahun 2015. Defiant Development iaitu pembangun untuknya sebelum ini mengumumkan penutupan studio mereka dan kini beroperasi secara kecil-kecilan untuk memberi sokongan kepada permainan ini.

Selepas tawaran untuk dua permainan ini berakhir, Epic Games Store akan menawarkan satu permainan percuma iaitu Idle Champions of the Forgotten Realms pada 29 April kelak.

Sohor Kini