Skip to main content

Nier replicant ver.1.22474487139 (sepanjang penulisan ini akan hanya dipanggil sebagai Nier Replicant) adalah permainan penambah-baikkan untuk permainan berjudul sama yang dikeluarkan pada tahun 2010 untuk PS3. Menurut Yoko Taro, iaitu pengarah untuk permainan asal, mereka memilih untuk meletakkan judul ver.1.22474487139 adalah bagi memperlihatkan yang ia adalah permainan yang ditambah-baik tetapi tidak secara penuh untuk memanggilnya sebagai ‘Remastered’.

Jika ingin membuka sejarah mengenainya, Nier Replicant yang asal adalah versi yang dikeluarkan untuk pasaran Jepun, manakala bagi pasaran global ia adalah Nier Gestalt ataupun Nier sahaja yang mempunyai bentuk permainan sama, tetapi watak utama ditukar daripada remaja kepada orang dewasa. Bagi versi terbaru ini, mereka memilih versi Replicant tetapi menyertakan beberapa kandungan dari Gestalt.

Bagi anda yang pernah bermain Nier: Automata, Nier Replicant berlaku beribu tahun sebelum permainan tersebut, anda akan menjumpai beberapa watak yang kembali di dalam siri tersebut tetapi mungkin dengan cara berbeza. Perlu bermain Automata terlebih dahulu? Tidak, terutama kerana permainan ini asalnya dikeluarkan sebelum Automata lagi.

Secara jujurnya, saya tidak pernah mencuba permainan Nier. Satu-satunya pengalaman saya bermain siri permainan ini adalah mencuba demo untuk Nier: Automata. Namun, selepas saya mencuba Nier Replicant ini, ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya merasakan yang ia adalah satu permainan yang harus dicuba oleh semua.

ver.1.22474487139

Seperti saya nyatakan di atas, pilihan judul yang aneh ini adalah untuk menyatakan ia adalah satu permainan penambah-baikkan akan tetapi tidak secara menyeluruh untuk menggunakan judul ‘Remastered’ dan saya bersetuju. Jika diperlihatkan pada rekaan grafik, ia menyertakan pelbagai aspek yang lebih baik berbanding permainan asal, akan tetapi saya masih merasakan ia terlalu kosong dan ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan permainan terkini.

Selain daripada beberapa adegan penting dan juga model watak, kualiti grafik secara keseluruhan tidak baik-baik sahaja, jika ingin dibandingkan dengan permainan PS3, ia membawa kualiti yang lebih baik akan tetapi jika ingin dibandingkan dengan permainan terkini ia tidak sangat memberangsangkan. Adakah ia menjadi masalah? Bagi saya tidak, terutama bentuk permainan ini tidak sangat memfokuskan kepada pengembaraan.

Saya tidak pernah mencuba permainan PS3, akan tetapi satu perkara yang saya sangat kagum adalah kadar kelancaran yang sangat baik. Benar, grafik yang tidak tinggi membantu untuk membawa prestasi yang lebih baik dan bagi saya ia sudah mencukupi untuk membuatkan saya mempunyai masa yang baik bermain. Saya bermain permainan ini di PlayStation 5, akan tetapi ia adalah melalui fungsi keserasian belakang oleh itu saya tidak merasakan akan mempunyai perbezaan yang ketara di PlayStation 4.

Pertempuran Yang Lancar

Satu perkara yang bagi saya tidak ketinggalan zaman adalah sistem pertempuran yang disertakan. Semasa saya mula bermain Nier Replicant, saya tidak kagum dengan penyampaian terutama dari segi grafik, namun apabila pertempuran bermula, segala itu saya buang dan terus menyukai permainan ini. Ia membawa sistem pertempuran yang sangat lancar dengan pelbagai pergerakan yang bukan sahaja bergaya tetapi sangat praktikal.

Di dalam permainan ini, pemain akan berjumpa dengan Grimoire Weiss yang akan memberi kebolehan magis kepada pemain. Gabungan di antara magis dan penggunaan senjata, benar-benar memberi pengalaman yang memuaskan. Terdapat beberapa magis yang boleh digunakan dan pemain boleh meletakkannya di butang R1, R2, L1 dan L2. Oleh kerana ia juga adalah butang yang sama untuk ‘Evade’ dan ‘Block’, pemain boleh memilih untuk mempunyai 2 sahaja magis ataupun sehingga 4 jika tidak langsung ingin menggunakan dua gerakan biasa tersebut.

Sepanjang sesi permainan, ia tidak mempunyai jenis penjahat yang banyak, kecuali pada bos, gaya serangan juga tidak memerlukan perbezaan yang ketara. Namun, jika pemain mengetahui cara untuk melakukan kombo ataupun kelemahan sesuatu penjahat, pertempuran akan menjadi lebih pantas.

Selain Weiss, pemain juga akan ditemani oleh dua watak lain iaitu Kainé dan Emil, mereka akan melakukan serangan bersama tetapi ia tidak sangat membantu dan kebanyakan serangan masih lagi memerlukan pemain. Ia mungkin pilihan pengarah permainan untuk tidak memastikan permainan menjadi terlalu senang dengan menyertakan kumpulan yang terlalu kuat.

Jika anda biasa dengan permainan Nier Automata, Nier Replicant juga (ataupun yang memulakan) konsep pelbagai sudut pandangan di dalam permainan. Ada masa ia adalah third person, ada bahagian ia menjadi dari pandangan atas dan termasuk juga menjadi side scroller. Pertukaran setiap bahagian ini dilakukan dengan baik dan tidak terasa janggal.

Bagi pertempuran bos pula, ia mempunyai pelbagai rekaan bos yang berlainan. Setiap dari mereka mempunyai gaya serangan tersendiri, terutama dengan penggunaan partikel serangan yang akan memenuhi skrin dan memerlukan pemain untuk mengelak dan bergerak dengan kerap. Ia juga merupakan kekuatan utama permainan ini, bukan sahaja kerana kepentingan mereka untuk penceritaan akan tetapi untuk membawa sesuatu yang berlainan kepada sesi pertempuran.

Untuk kesukaran permainan ini, saya menggunakan tahap kesukaran Normal, ada Easy dan Hard sebagai pilihan lain. Saya boleh katakan yang Normal adalah mudah, dan tidak mencabar, tetapi masih cukup baik untuk saya merasai keseronokan pada setiap sesi pertempuran. Jika anda inginkan cabaran, saya cadangkan menggunakan tahap kesukaran Hard.

Aktiviti Lain…?

Nier Replicant juga menyertakan konsep yang boleh digelar sebagai dungeon crawler, di mana saya akan melalui satu kawasan yang mempunyai pelbagai peringkat. Selain pertempuran, ia juga menyertakan pelbagai tekaria ringkas. Ia dilakukan dengan baik akan tetapi ada masa saya merasakan ia sekadar penghalang berbanding sebagai satu nilai tambah. Saya juga tidak menyukai platformer yang disertakan, masalah utama adalah kawalan untuknya terasa tidak jitu yang menjadikan platformer sedikit sukar.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan pelbagai aktiviti lain, selain daripada bertempur dan melakukan misi penceritaan utama. Ada misi sampingan yang akan diberikan oleh NPC-NPC, selain itu terdapat juga aktiviti sampingan seperti memancing. Namun, melainkan untuk perkara di bahagian akhir permainan, setiap misi sampingan dan aktiviti sampingan tidaklah penting.

Saya melakukan beberapa misi sampingan pada awal permainan, tetapi tidak langsung melakukannya sehinggalah habis permainan. Ia adalah kerana, misi-misi ini akan memerlukan saya bergerak dari A ke B, ataupun mencari sesuatu, walaupun ia menyertakan penceritaan tersendiri dan ada yang menarik saya tidak merasakan ia berbaloi untuk dilakukan kerana dengan cepat ia terasa sangat berulang.

Ini ditambah lagi, permainan ini tidak menyertakan perjalanan pantas sehingga bahagian akhir oleh itu saya perlu berulang kali pergi ke sesuatu tempat untuk melakukan setiap misi ini. Ia tidak sangat menyeronokkan. Saya ingin mengkritik mengapa permainan ini tidak menyertakan perjalanan pantas dengan lebih menyeluruh tetapi ia terjawab di dalam salah satu dialog yang disertakan di dalam permainan yang pemain boleh dengari sendiri semasa bermain.

Seperkara lagi yang membuatkan pengembaraan yang membosankan tersebut lebih boleh diterima adalah dengan hadirnya runut bunyi yang sangat berkualiti. Saya sering sekadar berada di dalam keadaan idle untuk mendengar muzik-muzik tersebut. Ia juga dilakukan dengan baik semasa bahagian-bahagian penting permainan yang membantu untuk menyampaikan emosi bahagian tersebut

Selain daripada itu, terdapat juga kandungan tambahan yang hadir sebagai DLC sebelum ini disertakan bersama untuk versi ini. Saya tidak mencubanya, tetapi ia adalah untuk menguji kemahiran anda bertempur. Oleh kerana, pertempuran adalah bahagian paling menyeronokkan, saya merasakan ia adalah sesuatu yang seronok untuk dicuba sambil bermain permainan ini. Kandungan tambahan yang disertakan boleh dilihat melalui treler ; NieR Replicant ver.1.22474487139… | Extra Content Trailer.

Penceritaan Yang Kukuh

Selain bentuk pertempuran, perkara yang membuatkan saya ‘jatuh cinta’ dengan permainan ini adalah penceritaan yang disampaikan. Ia sangat aneh, sesuatu yang sudah dijangkakan di dalam siri ini akan tetapi pada masa sama ia menyertakan penceritaan yang mudah untuk difahami. Mungkin tidak sepenuhnya, akan tetapi ia tidak terlalu sukar untuk diikuti dan saya tidak tertanya-tanya apa yang berlaku, sesuatu yang kerap berlaku jika bermain permainan yang mempunyai penceritaan sebegini.

Ia mempunyai sesuatu yang tipikal untuk permainan Jepun iaitu penceritaan yang rumit penuh dengan cabang yang saling berkait. Namun, berbanding membuatkan saya keliru, ia sebaliknya menguatkan lagi setiap cabang penceritaan tersebut. Sudah semestinya, ia mempunyai pelbagai elemen yang mungkin tidak akan sepenuhnya difahami dan saya hanya sekadar menganggap ia masuk akal tetapi perkara tersebut sangat jarang dan biasanya tidak terlalu besar.

Antara pendorong yang membantu untuk menjadikan penceritaan menarik adalah perwatakan untuk setiap watak yang sangat unik terutama terutama 4 orang watak utama iaitu watak pemain, Weiss, Kainé dan Emil. Setiap dari mereka mempunyai penceritaan tersendiri yang sangat baik, dan ia disampaikan dengan baik walaupun secara ringkas tetapi mencukupi untuk saya mengambil kisah mengenai mereka.

Lakonan-lakonan suara untuk setiap watak tersebut juga dilakukan dengan sangat baik, pada awalnya saya menggunakan bahasa Jepun, tetapi kerana pelbagai dialog menarik diperkatakan semasa mengembara dan bertempur, menggunakan bahasa Inggeris adalah lebih baik dan saya sangat berpuas hati dengan penyampaian setiap watak.

Kesimpulan

Selepas menghabiskan permainan ini, saya terus tertarik dengan siri permainan Nier, dan tertanya-tanya mengapa saya masih tidak mencuba permainan Nier: Automata yang ramai mengatakan adalah permainan yang lebih baik berbanding Nier Replicant.

Pertempuran yang disertakan sangat menyeronokkan, segala pergerakan tersangat berguna dan pada masa sama nampak sangat bergaya. Dengan kelancaran permainan yang sangat baik, ia lebih membantu untuk mempertingkatkan pengalaman pertempuran secara keseluruhannya.

Ini ditambah lagi dengan penceritaan yang sangat menarik, walaupun mempunyai plot yang bercabang, serta pelbagai watak yang mempunyai penceritaan tersendiri tetapi ia telah disampaikan dengan baik menjadikan ia tidak terlalu mengelirukan walaupun dengan apa yang cuba disampaikan, ia sangat mudah untuk mempunyai masalah tersebut. Ini ditambah lagi dengan lakonan suara serta runut bunyi yang sangat berkualiti dan berkesan.

Saya sedikit kecewa dengan kualiti keseluruhan grafik serta kandungan sampingan yang disertakan akan bagi saya ia bukanlah bahagian penting untuk permainan ini dan tidak sedikit pun menjejaskan pengalaman saya bermain. Oleh itu, walaupun ia bukanlah satu penambah-baikkan yang menyeluruh akan tetapi permainan ini mempunyai pelbagai perkara yang berkualiti untuk saya mengesyorkannya kepada semua.

Penafian: Kod permainan disediakan oleh Square Enix untuk tujuan ulasan ini. Nier replicant ver.1.22474487139 akan dilancarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC pada 22 April 2021. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Nier replicant ver.1.22474487139
Harga: RM 249
Nier Replicant adalah permainan penambah-baikkan yang walaupun tidak sepenuhnya akan tetapi merupakan satu permainan yang penting untuk dimainkan oleh semua.
Positif
Bentuk Pertempuran Yang Menyeronokkan
Penceritaan Yang Berkualiti
Runut Bunyi Yang Mengasyikkan
Negatif
Kualiti Grafik Masih Ketinggalan
Misi Dan Aktivit Sampingan Terasa Kosong
8

Leave a Reply