Berdasarkan laporan oleh Bloomberg, Sony dikatakan telah menolak idea untuk membangunkan permainan susulan kepada Days Gone. Perkara tersebut dikatakan kerana Sony ingin memfokuskan kepada permainan yang mendapat sambutan yang baik selain itu Days Gone juga dikatakan telah mengambil masa terlalu lama untuk dibangunkan.

Melalui temubual bersama dengan David Jaffe (terima kasih VGC), John Garvin iaitu pengarah bersama untuk Days Gone mengatakan yang jika pemain menyukai sesuatu permainan, beli permainan tersebut dengan harga yang penuh dan bukan mendapatkannya semasa ia ditawarkan secara diskaun ataupun melalui tawaran PS Plus.

Beliau juga meminta pemain untuk tidak merungut jika sesuatu permainan tidak mendapat permainan susulan jika permainan tersebut tidak menerima sambutan yang baik semasa dilancarkan. Beliau menggunakan God of War sebagai contoh, permainan tersebut terjual berjuta unit semasa pelancaran tetapi tidak untuk Days Gone.

Walaupun pilihan perkataan yang digunakan oleh John Garvin agak kasar, tetapi ia mempunyai kebenaran. Kita tidak boleh menyalahkan Sony untuk tidak meneruskan sesuatu projek yang mereka rasakan tidak akan menguntungkan ataupun tidak akan membantu mereka untuk menjual konsol.

Namun, ia juga tidak membantu Days Gone telah mendapat ulasan yang sangat sederhana berbanding God of War contohnya yang mendapat pujian secara menyeluruh. Tambahan dengan hadirnya perkhidmatan seperti Xbox Game Pass, jumlah jualan pada pelancaran mungkin tidak akan sepenuhnya menjadi penentu kejayaan untuk sesuatu permainan.

Leave a Reply