Rovio adalah satu studio permainan video yang dikenali ramai, terutama melalui IP utama mereka iaitu Angry Birds. Selain daripada IP tersebut mereka telah hadir dengan beberapa permainan lain antaranya Small Town Murders dan Sugar Blast, kini yang terbaru mereka juga telah melancarkan Darkfire Heroes dengan lebih menyeluruh.

Darkfire Heroes merupakan permainan aksi RPG yang memerlukan pemain untuk membina sepasukan menggunakan 5 watak yang setiapnya mempunyai kebolehan tersendiri, pemain juga boleh membawa 5 spell. Setiap sesi permainan, pemain akan melawan gelombang penjahat, serangan akan dilakukan secara automatik, pemain sekadar perlu memilih kebolehan serta spell yang ingin digunakan. Jika melalui peringkat yang mudah, pemain juga boleh menjadikan kesemua pergerakan secara automatik dan dipercepatkan.

Selain bertempur, fokus utama permainan ini sudah semestinya adalah mengumpul watak-watak dan meningkatkan tahap mereka dengan mendapatkan salinan untuk watak tersebut. Jika anda pernah bermain permainan seperti Raid: Shadows Legends ia membawa konsep yang sama. Buat masa ini terdapat lebih 60 watak dan 20 spell yang boleh didapatkan oleh pemain.

Ia sebelum ini sudahpun dilancarkan secara akses awal untuk negara terpilih termasuk juga Malaysia, oleh itu anda mungkin sudah mencuba permainan ini. Jika tidak anda boleh memuat turunya melalui App Store dan Play Store. Ia boleh dimainkan secara percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini