Epic Games hari ini telah mendapat suntikan dana sebanyak $1 Bilion dan $200 ribu daripadanya oleh Sony. Namun, kerjasama tersebut tidak terhenti setakat itu, apabila mereka telah mengumumkan yang kandungan berdasarkan Horizon Zero Dawn akan tiba untuk permainan battle royale Fortnite.

Barangan-barangan kosmestik Horizon Zero Dawn ini boleh didapati secara berasingan di kedai dalam permainan ataupun melalui satu berkas yang akan turut menyertakan hiasan skrin pemuatan Aloy the Skywatcher. Ia boleh dibeli bermula 15 April ini. Jika anda memiliki kostum Aloy dan bermain Fortnite di PS5, anda juga akan diberikan satu kostum tambahan iaitu Banuk Ice Hunter.

Jika anda tidak ingin berbelanja, berkas tersebut juga boleh diperoleh dengan menyertai Aloy Cup. Ia adalah kejohanan berdasarkan mod permainan Duos, ia adalah battle royale biasa akan tetapi pemain yang melakukan serangan menggunakan panah akan mendapat markah tambahan. Pemain boleh bermain 10 permainan dalam masa 3 jam, pemain terbaik dari setiap benua akan mendapat berkas Horizon Zero Dawn secara percuma sebelum ia tiba di kedai lagi. Kejohanan ini akan bermula pada 14 April dan terhad kepada pemain di PS4 dan PS5 sahaja.

Epic Games juga telah mengumumkan mod masa terhad ‘Team Up! Aloy & Lara’ yang akan bermula pada 18 April. Di dalam mod ini, pemain akan bermain secara Duos di mana anda akan memakai kostum Aloy dan juga Lara secara terus dan Aloy hanya boleh menggunakan panah, manakala Lara akan menggunakan dua pistol. Pemain boleh mencari di persekitaran untuk meningkatkan tahap senjata tersebut.

Fortnite sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Switch, PC dan Android. Ia boleh dimainkan secara percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini