Sony mengumumkan yang PlayStation 5 akan menerima kemaskini sistem operasi bermula esok, kemaskini ini dikatakan akan mempertingkatkan pengalaman penggunaan konsol tersebut dan juga memudahkan pemain untuk mengurus fail permainan dan storan.

Perkara tambahan yang sangat berguna adalah melalui kemaskini ini, pemain boleh memindahkan fail permainan PS5 ke storan luaran tidak kira HD ataupun SSD. Namun, oleh kerana permainan PS5 memerlukan storan dalaman untuk dimainkan, ia hanya boleh dipindahkan sahaja dan tidak boleh dimainkan secara terus. Fungsi ini sangat berguna jika anda sudah hampir kehabisan storan dalaman, dan ingin membuang permainan yang jarang dimainkan tetapi tidak ingin memuat turunnya semula di masa hadapan. Ia adalah antara fungsi yang kami sering gunakan di Xbox Series.

Selain itu, kemaskini ini juga membolehkan pemain untuk berkongsi sesi permainan secara rentas generasi iaitu di antara pemain di PS4 dan juga PS5. Mereka juga dapat meminta untuk menyertai sesi permainan tersebut. Ia juga menyertakan antaramuka yang ditambah-baikkan untuk Game Base, membolehkan penerbit permainan untuk membolehkan pemain pra-muat turun kemaskini permainan, dan juga memilih jenis trofi yang secara automatik menyimpan gambar atau/dan video.

Jika anda membuka tetapan muat turun secara automatik dan tidak menutup sepenuhnya konsol PlayStation 5, kemaskini ini akan dimuat turun bermula esok.

Sohor Kini