Temubual Bersama Naquib Azlan, Juara Musim Pertama E1 Championship

Kejohanan esukan perlumbaan kereta E1 Championship kembali lagi tahun ini untuk tahun kedua ataupun Musim Satu selepas kejayaan penganjuran buat julung kali pada tahun lepas. Axle Motosports akan menganjurkan kejohanan ini bermula pada hari ini sehingga 2 Jun 2021 yang akan melibatkan 14 pasukan dan 28 pemandu. Kejohanan ini akan disiarkan melalui eGG Network.

Naquib Azlan, Juara Musim Pertama E1 Championship

Bersempena dengan bermulanya musim baharu ini, kami telah diberi peluang untuk bercakap dengan Naquib Azlan yang merupakan juara keseluruhan bagi musim sulung E1 Championship dan pelumba untuk pasukan Stratos Motosports. Beliau merupakan pelumba yang berasal dari Malaysia dan berumur 21 tahun. Satu perkara yang tidak mengejutkan, beliau sangat meminati kereta dan juga sukan lumba kereta.

Beliau menyukai bermain permainan video sejak berumur 3 hingga 4 tahun lagi dan permainan video lumba adalah antara permainan kegemaran. Namun, hanya pada tahun lepas, beliau mula terlibat dengan perlumbaan kompetitif melalui kejohanan eRGP Global Edition, yang turut dianjurkan oleh Axle Motosports. Walaupun pada awalnya agak skeptikal dengan penglibatannya akan tetapi ia telah menjadi permulaan kepada satu perkara baharu bagi dirinya sehinggalah menjadi juara untuk E1 Championship.

Selain berlumba secara simulasi, beliau juga terlibat dengan perlumbaan kereta sebenar dan merupakan sebahagian daripada Gazoo Racing Young Talent Development Program iaitu program oleh pengeluar kereta Toyota untuk mencari dan melatih bakat muda tempatan di dalam perlumbaan kereta. Bercakap mengenai terlibat dengan dua jenis perlumbaan berbeza ini, beliau mengatakan penglibatan beliau di dalam perlumbaan simulasi telah membantu dirinya untuk menjadi pelumba kereta yang lebih baik terutama dari segi race craft dan juga membantu dari segi ketahanan mental yang merupakan sesuatu yang penting semasa perlumbaan.

Bagaimana Ingin Bermula Dengan Perlumbaan Kereta Simulasi?

Jika anda berminat untuk terlibat dengan perlumbaan kereta simulasi, beliau mengatakan yang apa yang anda perlu adalah sebuah komputer dan boleh menggunakan permainan video seperti Raceroom. Beliau juga sangat mengesyorkan untuk mendapatkan aksesori permainan lumba kereta bagi memberi pengalaman yang lebih mendalam yang akan juga membantu untuk pemanduan sebenar.

Antara rungutan utama untuk pemain terlibat dengan perlumbaan kompetitif adalah mereka merasakan ia memerlukan pelaburan kewangan yang besar. Bagi Naquib, ia adalah perkara yang tidak benar. Baginya, perlumbaan simulasi telah menjadi lebih mudah dan terbuka untuk lebih ramai orang, terutama jika ingin dibandingkan dengan lumba kereta sebenar. Tambah beliau, sesiapa sahaja boleh bermula dengan menggunakan alat kawalan biasa, jika ingin mendapatkan aksesori lumba, ia juga telah ditawarkan dengan pelbagai harga daripada kelas permulaan sehinggalah yang mercu.

Bercakap sama ada minat untuk perlumbaan kereta simulasi cukup di kalangan rakyat Malaysia, beliau mengatakan industri ini masih mempunyai penjalaan jauh dan ia tidak cukup besar lagi akan tetapi dengan penganjuran kejohanan seperti E1 Championship yang membawa pelumba terbaik dari benua Asia Pasifik akan menarik lebih ramai pengikut dan akan membantu ia lebih berkembang lagi.

Usaha oleh Axle Motosports untuk mengembangkan lagi scene perlumbaan simulasi ini melalui pelbagai kejohanan termasuk juga E1 Championship juga dipuji oleh Naquib. Menurutnya, dengan melibatkan peserta dari Malaysia dan juga Asia Pasifik ia lebih membantu untuk mengembangkan lagi scene. Selain itu, beliau juga mengatakan Astro melalui eGG Network telah melakukan satu kerja yang baik untuk membawa kejohanan ini melalui penstriman yang berkualiti kepada lebih ramai peminat.

Persediaan Untuk Musim Kedua E1 Championship

Dengan E1 Championship untuk musim kedua bermula hari ini, Naquib mengatakan persediaan untuknya telah berlaku dengan baik, untuk dirinya sendiri dan juga pasukan Stratos Motorsport dan Scuderia Stratos. Tambah Naquib, mereka telah bekerjasama dengan baik dan saling mendorong untuk mencapai tahap yang terbaik dengan melakukan banyak simulasi perlumbaan dan juga kelayakan untuk menyediakan diri bagi perlumbaan seterusnya.

Bercakap mengenai hadir sebagai juara memberi lebih tekanan ataupun motivasi, beliau mengatakan ia adalah kedua-duanya. Ia member tekanan kerana menjadikan dirinya untuk melakukan lebih baik berbanding musim lepas ataupun perlumbaan yang lepas dan ia juga telah memberi motivasi kerana beliau boleh meneruskan momentum daripada musim lepas ke musim baharu ini.


Anda boleh mengikut Naquib Azlan di laman sosial Instagram, Facebook dan juga Youtube. Jika anda ingin mengikut kejohanan E1 Championship, anda boleh tontonnya melalui Facebook rasmi E1 Championship ataupun channel eGG Network di Astro.

Sohor Kini