Skip to main content

Dua permainan Clash iaitu Clash of Clans dan Clash Royale boleh dikatakan sebagai permainan mudah alih yang menjadikan Supercell satu syarikat yang besar, bahkan mereka masih lagi memegang rekod pengambil-alihan tertinggi di mana Tencent membayar RM35 bilion pada tahun 2016. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila mereka ingin mengembangkan lagi siri permainan ini.

Minggu ini, Supercell telah berkongsi tiga permainan mudah alih baharu yang akan dikeluarkan berdasarkan siri Clash. Ketiga-tiga permainan tersebut akan membawa genre yang berbeza. Tiga permainan tersebut adalah Clash Quest, Clash Mini dan Clash Heroes.

Clash Quest adalah permainan strategi di mana watak-watak Clash akan berada di dalam grid 4×4 untuk bertempur dengan beberapa penjahat ataupun satu penjahat besar. Pemain boleh memilih sesiapa sahaja yang berada di grid untuk menyerang akan tetapi serangan lebih berkesan jika terdapat lebih daripada satu watak yang sama. Dengan kata lain, ia seakan permainan match-3.

Clash Mini pula adalah permainan yang mengambil inspirasi daripada permainan papan dan juga genre auto-battler ataupun auto-chess. Pemain akan meletakkan watak-watak Clash versi mini secara serentak dengan pemain lawan, dan mereka akan bertempur secara automatik mengikut kedudukan setiap watak. Ia adalah permainan pertama yang dibangunkan oleh studio baharu Supercell iaitu Supercell Shanghai.

Clash Heroes adalah permainan RPG pengembaraan dan juga dungeon crawler. Ia mengambil genre permainan yang dipopular oleh Diablo dan menggunakan watak-watak daripada siri Clash. Clash Heroes boleh dimainkan secara solo dan juga koperasi sehingga 3 pemain. Mereka juga memperlihatkan pelbagai rekaan kostum untuk watak tersebut, dan mengatakan akan turut memperkenalkan watak baharu. Permainan ini juga dibangunkan oleh Supercell Shanghai.

Supercell mengatakan yang ketiga-tiga permainan ini masih diperingkat awal pembangunan dan akan menerima pelbagai perubahan dari semasa ke semasa. Mereka juga tidak mengumumkan tarikh pelancaran untuk setiap permainan tersebut. Selain tiga permainan ini, Supercell juga mengatakan sedang membangunkan pelbagai permainan lain yang tidak berkait dengan siri Clash.

Leave a Reply