7 Permainan Menarik Untuk Bulan April 2021

Berbanding bulan yang perlahan untuk pengeluaran permainan video, bulan April kali ini tampaknya membawa lebih pilihan permainan menarik dan ia juga untuk pelbagai konsol yang juga berbeza dengan bulan-bulan lepas di mana Nintendo Switch telah menerima lebih pilihan permainan menarik berbanding konsol-konsol lain termasuk juga PlayStation 5 dan Xbox Series.

Bulan ini juga telah membawa permainan daripada genre, jika anda menyukai permainan menembak permainan seperti Outriders dan Returnal sudah semestinya akan menjadi pilihan, jika anda mencari permainan simulasi sukan MLB The Show 21 dan MotoGP 21 akan tiba pada bulan ini. Ternanti-nanti permainan seterusnya untuk siri Pokemon, New Pokmeon Snap juga akan dikeluarkan pada bulan ini.

Berikut adalah 7 permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini;

Outriders

Selepas kekecewaan melalui permainan Marvel’s Avengers, Outriders boleh dikatakan sebagai percubaan seterusnya oleh Square Enix untuk menawarkan “game as service” yang mendapat penerimaan ramai. Berbanding mengguna pakai IP yang dikenali ramai, Outriders membawa dunia rekaan baharu dengan penceritaan unik. Ia dibangunkan oleh People Can Fly yang pernah terlibat dengan permainan seperti Bulletstorm, Gears of War dan Fortnite sebelum ini. Ia dikeluarkan pada 1 April 2021 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Ia juga ditawarkan sebagai sebahagian Xbox Game Pass untuk Xbox.

Di dalam Outriders, anda akan menjadi seorang tentera yang sepatutnya mencari planet baharu untuk dijadikan sebagai tempat tinggal baharu untuk manusia. Namun, apabila mereka tiba di satu planet, yang tampaknya sangat baik untuk dijadikan sebagai bumi baharu tetapi ribut petir tiba-tiba berlaku yang membunuh sesetengah orang, tetapi juga telah memberi kuasa kepada pemain. Ia adalah permainan looter shooter, jadi selain penceritaan, bentuk permainan utama sudah semestinya mendapat barangan terbaik.

Oddworld: Soulstorm

Oddworld adalah permainan platformer klasik yang dikeluarkan sejak tahun 1997 lagi. Oddworld: Soulstorm adalah permainan terbaru untuknya, ia adalah permainan susulan kepada Oddworld: New ‘n’ Tasty! yang merupakan olahan semula untuk permainan pertama Oddworld: Abe’s Oddysee oleh itu, Soulstorm boleh dikatakan sebagai permainan olahan semula untuk Oddworld: Abe’s Exoddus yang dikeluarkan pada tahun 1998.

Oddworld: Soulstorm mengekalkan genre permainan ini iaitu platformer. Namun, kali ini ia akan menyertakan pelbagai mekanik permainan baharu, antaranya adalah crafting. Di dalam permainan ini, watak utama iaitu Abe cuba melawan nasibnya apabila dijanjikan dengan perkara yang lebih baik oleh RaptureFarms. Dia perlu melalui pelbagai cabaran untuk melarikan diri bersama dengan Mudokon lain. Ia dibangunkan oleh Oddworld Inhabitant sendiri dan akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan PC pada 6 April ini. Ia juga ditawarkan percuma untuk pelanggan PS Plus yang memiliki PS5.

MLB The Show 21

MLB The Show boleh dikatakan sebagai satu-satunya permainan mercu untuk simulasi besbol yang membawa pengalaman penuh untuk liga utama sukan ini iaitu Major League Baseball. Sebagai permaianan yang dibangunkan oleh studio di bawah PlayStation Studios iaitu San Diego Studio ia sebelum ini adalah eksklusif untuk PlayStation sahaja. Namun, bermula dengan MLB The Show 21, ia juga ditawarkan untuk konsol Xbox, lebih menarik lagi ia juga akan disertakan secara terus di dalam Xbox Game Pass apabila ia dikeluarkan pada 20 April ini.

Seperti permainan-permainan simulasi sukan yang lain, MLB The Show akan menyertakan pelbagai mod untuk dimainkan secara solo ataupun melawan pemain lain secara dalam talian. Mod-mod seperti Diamond Dynasty dan Franchise Mode akan kembali, satu perkara baharu yang disertakan kali ini adalah pemain boleh menghasilkan padang sendiri dengan mengubah pelbagai perkara seperti keluasan dan juga persekitaran. Pemain juga boleh berkongsi rekaan secara dalam talian.

MotoGP 21

Satu lagi permainan simulasi sukan, dan kali ini ia adalah sukan yang boleh dikatakan lebih popular di Malaysia iaitu MotoGP. Selepas membawa permainan yang baik melalui MotoGP 20 pada tahun lepas, Milestone Team mengatakan yang mereka akan membawa sesuatu yang lebih realistik pada tahun ini. MotoGP 21 akan dikeluarkan pada 22 April untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Switch dan PC.

Selain akan membawa pengalaman yang lebih realistik untuk pemanduan, serta kesukaran AI, pemain juga diberi pelbagai perkara untuk diurus sendiri bagi memberi pengalaman yang lebih mendalam untuk yang inginkannya. Antara yang baru adalah pemain kini perlu mengurus kepanasan brek untuk memastikan sentiasa dapat berlumba dengan lebih optimum.

NieR Replicant ver.1.22474487139

Saya tidak akan mencuba untuk menghafal judul permainan ini, akan tetapi ia adalah permainan seterusnya bagi siri Nier. Siri ini mungkin lebih dikenali melalui permainan Nier: Automata akan tetapi sebelum permainan tersebut, Nier dikeluarkan terlebih dahulu pada tahun 2010 dan NieR Replicant adalah versi penambah-baikkan untuknya. Yoko Toro kembali sebagai penulis untuknya akan tetapi tanggungjawab pengarah diberikan kepada Saki Ito. Ia akan dikeluarkan pada 23 April untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Pemain akan mengawal seorang watak yang akan dinamakan oleh pemain sendiri, oleh kerana ia adalah versi Replicant pemain akan menjadi seorang remaja yang cuba mencari ubat untuk adiknya yang sakit iaitu Yonah. Melalui versi penambah-baikkan ini, kesemua dialog akan mempunyai lakonan suara, kawasan-kawasan juga dihasilkan dengan lebih mendalam. Ia juga akan menyertakan pelbagai penambahan penceritaan dan kandungan.

Returnal

Sebagai permainan eksklusif untuk PlayStation 5, Returnal sudah semestinya satu permainan yang dinanti-nantikan oleh pemilik konsol baharu tersebut. Terutamanya kerana beberapa bulan lepas sejak dilancarkan, ia tidak menerima banyak permainan yang dibangunkan khusus untuk konsol generasi terkini. Dibangunkan oleh Housemarque ia akan dikeluarkan pada 30 April ini.

Returnal merupakan permainan roguelite, di mana pemain akan mengawal watak Selene iaitu seorang angkasawan, apabila menjawab panggilan kecemasan dari satu planet Atropos, dia telah terhempas dan perlu melalui kawasan tersebut yang mempunyai pelbagai jenis penjahat. Tidak lama selepas pertama kali dia terhempas, Selene terus mati akan tetapi dia menyedari yang selepas ‘kematian’ tersebut dia kembali kepada saat sebelum dia terhempas dan bermulalah kitaran permainan Returnal. Seperti yang anda boleh baca melalui pandang pertama kami, ia adalah satu permainan yang nampak penuh dengan aksi dan menarik terutama yang menyukai genre ini.

New Pokemon Snap

Pokemon Snap adalah satu permainan yang berlainan jika ingin dibandingkan dengan permainan kebiasaan untuk Pokemon. Berbanding menangkap Pokemon untuk mengisi Pokedex, pemain sebaliknya perlu mengambil gambar sahaja dan pertempuran juga tidak disertakan. Permainan pertama dikeluarkan pada tahun 1999, dan edisi baharu untuknya New Pokemon Snap akan dikeluarkan pada 30 April ini untuk Nintendo Switch.

Di dalam New Pokemon Snap pemain akan membantu Profesor Mirror untuk mencari dan mengambil gambar lebih 200 Pokemon di benua Lental. Pemain akan menaiki NEO-ONE untuk mengembara di pelbagai kawasan. Selain mengambil gambar, pemain juga akan menyiasat mengenai kejadian Pokemon dan juga tumbuhan bersinar. Bagi yang menyukai siri Pokemon, permainan ini sudah semestinya akan membawa pengalaman yang berbeza.


Selain tujuh permainan yang saya senaraikan di atas adalah beberapa sahaja daripada pelbagai permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini. Bagi yang meminati permainan klasik Star Wars: Republic Commando, versi penambah-baikkan juga akan dikeluarkan pada 6 April untuk PS4 dan juga Switch. Permainan sampingan untuk Yakuza, Judgment pula akan dikeluarkan untuk PS5 dan Xbox Series pada 23 April.

Pastikan anda terus mengikut Aksiz untuk pengumuman terbaru mengenai permainan yang akan dikeluarkan dan juga berita-berita lain permainan video.

Sohor Kini