Seperti diumumkan sebelum ini, Fantasian adalah permainan JRPG oleh Mistwalker iaitu studio yang ditubuhkan oleh Hironobu Sakaguchi yang merupakan pencipta siri Final Fantasy semasa beliau bersama dengan Square Enix. Permainan ini akan tiba dalam dua bahagian dan bahagian pertama sudah-pun dilancarkan untuk Apple Arcade bermula hari ini.
Penceritaan permainan ini adalah berdasarkan Leo yang cuba mencari ayahnya yang hilang. Dia perlu menjelajah pelbagai dunia dan juga dimensi berbeza. Selepas kejadian di sebuah kawasan yang dikawal oleh robot, dia hilang ingatan dan hanya mempunyai memori mengenai watak bernama Kina. Selepas berjumpa dengan Kina, mereka bersama meneruskan pencarian dan kali ini untuk mengembalikan ingatan Leo di mana mereka akan menjelajah lebih 150 dunia berbeza.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.