Pasti anda sudah lupa dengan filem animasi baharu Sony, iaitu Connected. Ia sepatutnya ditayangkan pada bulan September tahun lepas. Tetapi disebabkan pandemik Covid-19 pawagam ditutup agak lama, khabar mengenai filem ini terus lenyap. Terkini filem ini telah diubah judulnya kepada The Mitchells vs. the Machines.

Lebih menarik, filem ini akan disiarkan di Netflix pada 30 April tidak lama lagi.

Keunikan filem ini adalah pada bentuk animasinya yang menggabungkan elemen 2D dan 3D. Ia kelihatan seakan filem Spider-Man Into The Spider-Verse. Ini kerana ia dihasilkan oleh orang yang sama, iaitu Phil Lord dan Christopher Miller. Pengarah siri animasi Gravity Falls, Mike Rianda adalah pengarah bagi filem animasi ini.

Filem ini mengisahkan keluarga Mitchell yang bertentang dengan mesin-mesin (robot, gajet, telefon, segala gizmo…). Semua “mesin” ini dihasilkan oleh syarikat teknologi Pal dan mula mempunyai minda tersendiri dan ingin memberontak. Katie yang diterima masuk ke kolej idaman ingin ke kolej dengan kapal terbang, tetapi ibu bapa mereka bertegas untuk pandu ke sana bersama seisi keluarga. Dengan mesin-mesin Pal yang memberontak, mereka menjadi pasukan adiwira bagi menentang semuanya dan pastikan Katie tiba ke kolej dengan selamat.

Antara pelakonnya adalah Abbi Jacobson dan juga Danny McBride. Sama-sama kita nantikannya. Siaran bermula 3PM pada 30 April ini.

Sohor Kini