Selepas dilaporkan pada minggu lepas, Sony minggu ini mengesahkan yang mereka akan menutup PS Store untuk PlayStation 3 dan PlayStation Vita, manakala PlayStation Portable juga akan tidak lagi mempunyai fungsi pembelian. PS Store untuk PS3 dan PSP akan ditutup pada 2 Julai 2021 dan untuk PS Vita pada 27 Ogos 2021.
Mengurangkan keresahan pemain mengenai permainan yang berada di dalam perpustakaan mereka, Sony mengatakan yang selepas penutupan ini, bagi permainan yang sudah dibeli ia masih boleh dimuat turun. Ini termasuk juga untuk permainan yang didapati melalui PS Plus selagi mana mempunyai langganan yang aktif.
Penutupan ini hanya memberi kesan kepada pembelian permainan baharu dan juga pembelian di dalam aplikasi. Selain itu anda juga tidak lagi boleh menebus kredit menggunakan konsol PS3, PS Vita dan PSP. Jika anda mempunyai kredit di dalam PSN Wallet, selepas penutupan anda hanya boleh menggunakannya di PS Store untuk PS4 ataupun PS5 sahaja.