Final Fantasy VIII Remastered diperkenalkan untuk platform PC dan konsol-konsol pada penghujung tahun 2019 untuk mereka yang berminat untuk menghayati semula perjalanan Squall Leonhart dan rakan-rakannya. Permainan ini, yang asalnya dikeluarkan untuk konsol Sony PlayStation pada tahun 1999, adalah permainan Final Fantasy pertama yang tidak menggunakan rekaan sprite kecil ala chibi.

Kemaskini versi Remastered memperlihatkan pengolahan grafik yang jauh lebih berkualiti tinggi, disamping beberapa penambahbaikan dari segi cara permainan dengan memperkenalkan ciri fast forward yang mempercepatkan pergerakan watak.

Terkini, Square-Enix telah mengumumkan bahawa Final Fantasy VIII Remake kini boleh dimuat-turun dan dimainkan melalui peranti pintar pada platform Android dan juga iOS. Permainan ini telahpun tiba melalui stor atas-talian tersebut, dan kini boleh dibeli pada harga RM69.90 pada kedua-dua platform ini.

Menurut penjelasan dari App Store, permainan ini hadir dengan saiz fail sebesar 2.5GB dan hanya mempunyai ciri penyimpanan data dalam-peranti buat masa ini. Sokongan untuk fail simpanan awanan dan juga pengawal permainan parti ketiga akan diperkenalkan di masa akan datang kelak.

Tidak seperti permainan permua Final Fantasy XV, Final Fantasy VIII Remake adalah permainan sama yang diperlihatkan pada platform PC dan konsol yang diperkenalkan sebelum ini.

Jika anda berminat untuk membeli permua Final Fantasy VIII Remake ini untuk platform permua, anda boleh ke Apple App Store ataupun Google Play Store untuk membelinya.

Sohor Kini