Skip to main content

Bloomberg telah melaporkan yang model Nintendo Switch baharu ataupun buat masa ini diura-urakan sebagai Switch Pro akan menggunakan cip baharu oleh NVIDIA yang akan menyokong fungsi Deep Learning Super Sampling (DLSS) iaitu fungsi yang sebelum ini disertakan untuk kad grafik RTX.

Melalui DLSS ia akan membantu untuk menjalankan sesuatu permainan dengan resolusi lebih tinggi akan tetapi tidak memberi kesan kepada prestasi yang ketara. Laporan tersebut juga mengesahkan apa yang dilaporkan sebelum ini di mana resolusi 4K hanya disokong apabila ia dimainkan di TV menggunakan dermaga.

Cip baharu ini juga dikatakan menggunakan CPU yang lebih baik dan penambahan memori. Bloomberg juga mengatakan yang sokongan DLSS akan memerlukan penambahan oleh pembangun, oleh itu pada awalnya ia akan disokong oleh permainan-permainan baharu sahaja. Permainan lama, mungkin akan menerima kemaskini kemudian.

Harga untuk Switch Pro ini juga dikatakan adalah lebih tinggi berbanding harga Switch sekarang iaitu $299, mengikut beberapa penganalisa, ia mungkin mencecah $399. Sebelum ini telah dilaporkan yang Switch Pro akan hadir dengan skrin 7-inci menggunakan panel OLED oleh Samsung. Ia dijangka akan tiba pada akhir tahun ini.

Leave a Reply