Studio mengambil alih studio permainan lain sudah menjadi sesuatu yang sering berlaku sejak dua tiga tahun ini, ia adalah memperlihatkan perkembangan pesat di dalam industri permainan video.
Ingin tahu, studio apa yang paling mahal dibeli? Berikut adalah 10 studio permainan video dengan kos ambil-alih termahal.
1. Zynga oleh Take-Two

Zynga adalah antara syarikat terawal yang menyediakan permainan secara sosial, permainan pertama mereka Texas Hold’Em Poker yang kini digelar sebagai Zynga Poker dilancarkan di Facebook. Namun, dengan peralihan teknologi, mereka juga beralih kepada penawaran permainan mudah alih. Dengan Take-Two yang ingin mengembangkan lagi sayap mereka di dalam arena permianan mudah alih, mereka telah mengambil alih Zynga dengan nilai $12.7 bilion (~RM53.34 bilion).
2. Supercell oleh Tencent

Supercell adalah satu studio permainan video dari Finland, dan mereka terkenal dengan beberapa permainan mudah alih terutamanya Clash of Clans, Clash Royale dan Brawl Stars. Pada tahun 2016, Tencent telah mengumumkan yang mereka mengambil-alih Supercell dengan nilai $8.6 bilion (~RM35 bilion).
3. Zenimax Media oleh Microsoft

Zenimax Media mempunyai pelbagai studio di bawahnya, yang paling besar adalah Bethesda yang turut bertanggungjawab untuk menerbitkan pelbagai permainan seperti siri Fallout dan The Elder Scrolls. Dengan peperangan konsol berterusan di konsol generasi baharu, Microsoft perlu melakukan sesuatu yang besar untuk melawan kekuasaan Sony. Pengambil-alihan bernilai $7.5 bilion (RM30 juta) ini sudah semestinya satu gerakan yang besar. Pengambil-alihan ini baru sahaja diselesaikan pada tahun ini.
4. King oleh Activision Blizzard

Agak sukar untuk mencari pemilik telefon pintar yang tidak pernah mendengar mengenai Candy Crush, ia adalah satu permainan yang menjadi kegilaan suatu masa dahulu, dan masih lagi lagi popular sekarang. Ia dibangunkan oleh King iaitu studio pembangun permainan video dari Sweden. Pada tahun 2015, Activision Blizzard telah mengambil-alih mereka dengan bayaran $5.9 bilion (RM24 bilion).
5. Moonton oleh ByteDance

Ia adalah pengambil-alihan yang terbaru dan baru sahaja dilaporkan pada hari ini, berbanding dengan studio-studio lain yang kami senaraikan di sini, ia adalah satu-satunya pengambil-alihan yang buat masa ini tidak diumumkan secara rasmi tetapi telah disahkan oleh pelbagai agensi media. Bytedance iaitu pemilik TikTok telah mengambil alih Moonton yang menerbitkan permainan seperti Mobile Legends: Bang Bang serta Mobile Legends: Adventure dengan nilai $4 bilion (~RM16.5 bilion).
6. Mojang oleh Microsoft

Satu lagi pengambil-alihan yang besar oleh Microsoft dan ia juga boleh dikatakan sebagai satu transaksi yang sangat berjaya dengan Minecraft permainan yang dibangunkan oleh Mojang masih lagi menjadi permainan popular di dunia. Pada tahun 2014, Microsoft telah mengambil alih Mojang dengan nilai $2.5 bilion (RM10 bilion). Menurut pengasas Mojang iaitu Markus Persson ataupun Notch beliau menjual Mojang kerana ia telah menjadi terlalu besar, di luar jangkaannya.
7. Glu Mobile oleh EA

Glu Mobile adalah studio permainan video yang mempunyai pelbagai permainan, terutama permainan mudah alih. Namun, siri paling popular mereka adalah Kim Kardashian: Hollywood, Disney Sorcerer’s Arena, Diner Dash Adventures, dan Cooking Dash. Pada tahun ini, EA telah mengambil-alih mereka dengan nilai $2.4 bilion (~RM9.87 bilion) untuk memperluaskan lagi penawaran mereka di platform peranti pintar.
8. Peak oleh Zynga

Peak merupakan studio pembangunan permainan video dari Turki yang terkenal dengan permainan mudah alih seperti Toon Blast dan Toy Blast yang kedua-duanya telah dimuat turun melebihi 100 juta kali. Zynga yang merupakan satu nama tidak asing lagi untuk permainan mudah alih telah mengambil-alih mereka dengan nilai $1.8 bilion (~RM7.4 bilion) pada tahun lepas.
9. Namco oleh Bandai

Mungkin lebih ramai mengenali nama Bandai Namco, namun sebelum mereka bergabung Bandai dan Namco merupakan dua studio yang berbeza. Pada tahun 2005, Bandai telah mengambil alih Namco dengan nilai $1.7 bilion (~RM6.9 bilion) dan sejak daripada itu, mereka dikenali sebagai Bandai Namco. Permainan paling popular oleh Nacmo sudah semestinya Pac-Man yang dikeluarkan pada tahun 1980.
10. Leyou oleh Tencent

Leyou bukanlah satu jenama yang dikenali ramai, namun mereka adalah syarikat induk untuk Digital Extremes iaitu pengeluar Warframe dan juga Splash Damage yang membangunkan permainan seperti Gears Tactics. Walaupun bermula sebagai syarikat menternak ayam, kini permainan video boleh dikatakan sebagai perniagaan utama mereka. Pada tahun lepas, Tencent telah mengambil alih mereka dengan nilai $1.5 bilion (RM24 bilion).
Bonus (Permainan yang terkeluar dari senarai 10 termahal)
Gearbox Software oleh Embracer Group

Seperti Leyou, Embracer Group juga tidak dikenali oleh ramai pemain, akan tetapi mereka merupakan syarikat induk yang memiliki pelbagai studio penerbitan dan pembangunan permainan video seperti Koch Media, Saber Interactive dan juga THQ Nordic. Pada tahun ini, mereka telah menambah satu lagi studio di bawah mereka iaitu Gearbox Software dengan kos pengambil-alihan sebanyak $1.3 bilion(~RM5.3 bilion). Gearbox Software terkenal dengan siri looter shooter iaitu Borderlands.
Selain senarai di atas, terdapat pelbagai lagi pengambil-alihan yang besar, antaranya adalah Codemaster oleh EA dengan nilai $1.2 bilion yang merupakan tawaran lebih tinggi berbanding Take-Two Interactive yang juga cuba mendapatkan Codemaster. Satu studio yang diambil-alih dengan nilai yang rendah akan tetapi telah menjadi lebih besar sekarang adalah Riot Games, di mana Tencent mengambil mereka dengan bayaran $400 juta (~RM1.6 bilion) sahaja tetapi Tencent telah memiliki 40% pegangan di dalam Riot Games sebelum pengambil-alihan penuh ini.
Selain itu, terdapat juga pelbagai pengambil-alihan yang tidak diumumkan nilai oleh kerana mereka bukan syarikat yang disenaraikan secara awam, contohnya Epic Games yang mengambil-alih studio seperti Psyonix dan Mediatonic. Dengan perkembangan industri permainan video terus berkembang pesat, kita bukan di pengakhiran untuk pengumuman pengambil-alihan ini. Terdapat pelbagai lagi studio yang akan diambil-alih oleh syarikat-syarikat besar, terutama di dalam industri peranti pintar kerana ia merupakan penjana pendapatan utama di dalam industri permainan video.