The Outer Worlds sebelum ini telah menerima penambahan pertama iaitu Peril on Gorgon, ia adalah penambahan yang baik untuk satu permainan yang menyeronokkan. Jika berminat, anda boleh baca ulasan saya untuk permainan utama dan juga penambahan melalui pautan ini. Pada 18 Mac yang lepas, Obisidian Entertainment dan juga Private Division telah melancarkan penambahan kedua iaitu Murder on Eridanos.

Seperti penambahan sebelum ini, Murder on Eridanos juga membawa pemain ke planet baharu iaitu Eridanos, penceritaan dan juga memperkenalkan beberapa watak baharu. Walaupun saya sentiasa teruja untuk kembali ke Halcyon dan penambahan kali ini terus membawa penceritaan yang sangat menarik akan tetapi bermain-nya sebagai “endgame” terasa sedikit kosong.

Penyelamat Halcyon, Kini Menjadi Sherlock Holmes

Melalui Murder on Eridanos, pemain akan menuju ke planet baharu iaitu Eridanos yang merupakan kawasan percutian dan juga tempat kilang untuk jenama air popular Rizzo. Halcyon Helen merupakan watak popular yang dilakonkan oleh Ruth Belamy. Dia sepatutnya menjadi duta untuk produk keluaran terbaru Rizzo tetapi dia telah dibunuh di Eridanos.

Pemilik Rizzo, Ludovico telah menghubungi pemain untuk ke Eridanos bagi menyiasat mengenai pembunuhan tersebut. Seperti biasa dengan penceritaan The Outer Worlds, selain pemain menjadi Sherlock Holmes, penceritaan juga mula bercabang menjadi lebih misteri berbanding awalnya. Kes pembunuhan ditambah lagi dengan pelbagai perkara aneh lain yang berlaku contohnya kes parasit yang didapati telah memasuki badan manusia di Eridanos.

Sepanjang penyiasatan ini, terdapat juga pelbagai watak menarik yang akan dijumpai oleh pemain. Bagi saya, ia sentiasa kekuatan untuk The Outer World di mana mereka dengan mudahnya memperkenalkan watak-watak menarik dan mendengar dialog daripada mereka adalah satu perkara yang sangat baik. Perwatakan setiap watak yang aneh, unik membuatkan saya tidak terasa bosan sepanjang melakukan misi-misi yang disertakan.

Walaupun ia tidak memperkenalkan companion baharu akan tetapi ia ada menyertakan The Discrepancy Amplifier iaitu pistol yang juga alat penting untuk penyiasatan. Menggunakannya, pemain boleh menjejak pelbagai perkara aneh persekitaran seperti melihat tapak kaki. Ia sangat membantu penyiasatan akan tetapi selain daripada itu, ia juga boleh dianggap sebagai companion kerana The Discrepancy Amplifier juga menyertakan AI yang mempunyai perwatakan tersendiri. Ia akan berbual dengan pemain apabila menjumpai klu baharu, dan seperti biasa untuk permainan ini, dialog-dialog yang disertakan sangat mencuit hati.

Konsep penyiasatan juga telah memberi dinamik baharu untuk bagaimana misi-misi dilakukan serta disampaikan dan Obsidian Entertainment berjaya menjadikan ia satu pengalaman bermain yang segar dan unik tetapi pada masa sama hanya masuk akal kerana ia berlaku di dalam dunia The Outer Worlds dan terus mengekalkan keanehan di dalam dunia ini.

Satu perkara yang membuatkan saya sedikit kecewa adalah selepas menyiasat keseluruhan perkara, berbanding memberi jawapan yang jelas mengenai siapa pembunuh ataupun bagaimana ia berlaku, ia masih lagi mempunyai satu perkara yang tidak terjawab yang sekaligus boleh membuatkan saya menjangkakan apa sebenarnya yang berlaku. Ia mengecewakan berbanding membuat tekaan berdasarkan apa yang saya tahu, ia lebih kepada apa yang saya tidak tahu. Walaupun begitu ia masih lagi berjaya memberi pengakhiran yang menarik dan mengejutkan untuk saya.

Oleh kerana ia berlaku di satu planet sahaja, misi-misi sampingan juga serba sedikit berkait dengan penceritaan utama untuk DLC ini yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan. Secara keseluruhan saya mengambil lebih 7 jam untuk menghabiskan setiap misi utama dan juga misi sampingan di dalam permainan ini dan ia adalah satu lagi penambahan yang baik untuk The Outer Worlds.

Dunia Menarik Tetapi Kurang Pengisian

Eridanos adalah satu lagi planet yang menarik di dalam The Outer Worlds. Ia adalah beberapa “pulau” yang bersambung menggunakan jambatan gantung yang panjang. Setiap-nya juga membawa rekaan persekitaran yang berbeza memberi alasan untuk pemain mengembara di pelbagai sudut Eridanos. Namun, selain daripada itu tidak banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pemain selain menyelesaikan misi-misi yang ada.

Sebelum ini saya sudah menyelesaikan permainan utama, kemudian menghabiskan DLC pertama dan apabila saya memulakan DLC kedua ini, saya sudah mempunyai watak dan juga pengikut yang sudah mempunyai tahap lebih daripada yang diperlukan. Oleh itu, ia sudah tidak memberi alasan yang kukuh untuk saya terus bertempur tanpa sebab, ataupun untuk ‘grinding’ walaupun mereka menyertakan pelbagai peralatan baharu. Apabila saya telah membuka tempat untuk perjalanan pantas saya akan terus menggunakannya, terutama dengan rekaan Eridanos.

Kesan daripada itu, ia memberi planet baharu ini terasa kosong tanpa pengisian yang bermakna. Masalah ini tidak akan terasa bagi pemain yang baru sahaja memulakan sesi permainan. DLC Murder on Eridanos dan juga Peril on Gorgon adalah satu penambahan yang baik untuk pertengahan permainan ataupun menjadi sebahagian daripada permainan utama akan tetapi apabila ia dimainkan sebagai “endgame” ia terasa sedikit kosong, satu-satunya yang menjadikan ia menarik adalah penulisan penceritaan yang berkualiti.

Kesimpulan

Murder on Eridanos adalah satu lagi penambahan yang baik untuk The Outer Worlds, ia juga menjadi satu lagi bukti yang apabila sesuatu permainan menyertakan asas yang kuat tidak kira dari segi watak ataupun pembinaan dunia, mencipta kandungan tambahan dan juga sampingan menjadi mudah. The Outer Worlds seperti yang saya katakan di ulasan lepas adalah satu permainan yang mempunyai penceritaan dan rekaan dunia yang menarik, oleh itu tidak mengejutkan apabila penambahan dilakukan ia membawa kualiti yang sama.

Namun, The Outer Worlds tidak mempunyai konsep “game as service” yang mendalam, ia adalah satu perkara yang baik akan tetapi pada masa sama mempunyai kekurangan dari segi memberi dorongan kepada pemain untuk terus bertempur ataupun grinding kerana apabila sudah mencapai satu tahap, segalanya terasa mudah dan saya bermain sekadar ingin menghabiskan penceritaan tersebut sahaja.

Bagi anda yang seperti saya sudah bermain sepenuhnya sebelum ini, DLC ini sekadar membawa penceritaan yang baharu sahaja, namun saya masih masih lagi mengesyorkan untuk anda mendapatkannya kerana ia membawa jalan cerita yang menarik. Manakala bagi anda yang tidak pernah memulakan lagi The Outer Worlds, saya cadangkan untuk anda dapatkan permainan utama bersama dengan kedua-dua DLC, dan bermain-nya sebelum menghabiskan penceritaan utama agar ia menjadi lebih menarik.

Penafian: Kod ulasan The Outer Worlds dan DLC Murder on Eridanos disediakan oleh Private Division

The Outer Worlds: Murder on Eridanos
Rumusan
Murder on Eridanos adalah satu lagi penambahan yang baik untuk The Outer Worlds akan tetapi ia lebih sesuai dijadikan sebagai tambahan kandungan pada pertengahan permainan berbanding 'endgame'.
Positif
Penceritaan Yang Baik Dan Mencuit Hati
Konsep Detektif Menjadi Misi Lebih Menarik
Negatif
Tiada Pengisian Mencukupi Untuk Pertempuran
8

Sohor Kini