Pada akhir tahun 2019, Starbreeze telah menjangkakan yang permainan terbaru untuk siri Payday iaitu Payday 3 akan dikeluarkan sekitar tahun 2022 atau 2023, dan kini mereka telah mengesahkan yang ia akan dikeluarkan pada tahun 2023. Mereka juga mengumumkan yang ia akan diterbitkan oleh Koch Media untuk sepanjang hayat permainan ini yang akan terus menjadi “game as service”.
Melalui ciapan di Twitter, mereka juga mengesahkan yang Payday 3 sudah memulakan pembangunan, akan menggunakan Unreal Engine dan akan tiba untuk konsol dan juga PC. Dengan ia akan dikeluarkan pada tahun 2023 tidak disahkan jika konsol generasi lepas akan turut menerima permainan ini.
Selepas mempunyai tahun yang tidak baik pada 2018 dan 2019 yang mengakibatkan mereka terpaksa menjual pelbagai hak penerbitan, Starbreeze mula berdiri semula pada akhir tahun 2019. Dengan perjanjian baharu dengan Koch Media ini, mereka sudah semestinya mempunyai masa depan yang lebih baik terutama jika Payday 3 menerima sambutan yang baik apabila dikeluarkan kelak.