Warner Bros telah mengumumkan yang mereka tunda permainan seterusnya untuk siri Batman Arkham iaitu Gotham Knights ke tahun hadapan. Ia sebelum ini diumumkan akan tiba sekitar tahun ini. Ini menjadikan permainan kedua yang ditunda oleh Warner Bros selepas Hogwarts Legacy juga ditunda ke tahun 2022.
Di dalam pengumuman ringkas yang dilakukan melalui Twitter, mereka sekadar mengatakan ingin memberi masa kepada pembangun untuk memberi pengalaman terbaik kepada pemain apabila Gotham Knights dikeluarkan kelak. Permainan ini dibangunkan oleh Warner Bros. Games Montreal.
Seperti diumumkan sebelum ini permainan ini boleh dimainkan secara solo ataupun secara koperasi sebanyak dua pemain serentak dan ia dirancang untuk dilancarkan bagi platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X dan PC.