Fungsi Auto-HDR merupakan antara fungsi keserasian belakang yang disertakan di konsol Xbox. Ia akan menjadikan permainan lama menyokong fungsi HDR tanpa memerlukan kemaskini oleh pembangun. Microsoft telah menyertakan fungsi ini untuk kebanyakan permainan keserasian belakang di Xbox, dan kini mereka cuba membawa fungsi tersebut untuk permainan di PC.

Buat masa ini mereka menyertakannya untuk Windows 10 test build iaitu versi beta untuk pengguna yang menyertai program Windows Insider. Microsoft mengatakan yang mereka menyasarkan untuk membawa fungsi ini bagi permainan yang menggunakan DirectX 11/12 dan juga untuk permainan yang tidak menyokong HDR. Tidak kesemua permainan akan terus menyokongnya, mereka akan melakukannya secara berperingkat dan oleh kerana fungsi ini akan memberi kesan kepada prestasi mereka perlu memastikan ia dilakukan dengan sebaik mungkin.
Jika anda ingin mencuba fungsi ini sebelum ia dikeluarkan sepenuhnya, anda boleh mendaftar untuk menyertai program Windows Insider melalui pautan ini, oleh kerana ia akan menjadikan Windows 10 anda versi beta, kami tidak mencadangkan untuk anda menggunakannya di PC utama.