Pengalaman Bermain Permainan Mudah Alih Di Samsung Galaxy S21 Ultra

Samsung Galaxy S21 adalah peranti mercu utama untuk Samsung, sejak dilancarkan pada bulan Januari lepas, ia masih lagi merupakan telefon pintar terbaik oleh Samsung dan juga antara yang terbaik untuk Android. Ia lebih benar bagi Samsung Galaxy S21 Ultra 5G yang merupakan pilihan terbaik (dan termahal) bagi siri ini. Samsung telah memberi Aksiz peluang untuk mencubanya telefon ini, dan kami akan fokuskan kepada pengalaman bermain permainan mudah alih.

Sebelum saya teruskan dengan pengalaman bermain di Samsung Galaxy S21 Ultra ini, adalah lebih baik saya kongsi-kan terlebih dahulu spesifikasi-spesifikasi penting untuk telefon ini. Saya akan fokuskan kepada yang berkait dengan permainan mudah alih sahaja;

  • Skrin: Dynamic AMOLED, 120Hz, 1440 x 3200
  • Cipset: Exynos 2100
  • Ram: 12GB
  • Storan: 256GB
  • Kapasiti Bateri: 5000mAH
  • Pengecasan Pantas: 25W

Bagi sesi permainan mudah alih, saya akan terangkan pengalaman secara umum, dan juga berdasarkan permainan yang khusus di mana saya telah memilih 5 permainan mudah alih iaitu Genshin Impact, Call of Duty Mobile, Fortnite, League of Legends: Wild Rift dan WWE Supercard.

Pengalaman Umum

Samsung Galaxy S21 Ultra adalah satu peranti yang baik untuk sesi permainan mudah alih pertamanya kerana kualiti skrin yang hadir. Seperti kita sedia maklum, Samsung adalah antara penyedia panel skrin terbaik di dalam industri ini dan ia turut benar untuk telefon ini. Penggunaan tetapan mod skrin ‘Vivid’ akan memberikan warna yang terang, termasuk juga semasa bermain permainan video. Ia akan memberi kejelasan paparan yang lebih sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik semasa bermain.

Resolusi skrin juga boleh dipilih daripada HD+ iaitu 720 x 1600, FHD+ 1800 x 2040 dan WQGD+ 1400 x 3200, semasa saya menguji telefon ini saya sekadar menggunakan tetapan FHD+ agar mendapat penggunaan bateri yang lebih baik, tanpa mengorbankan ketajaman paparan. Saya juga merasakan yang kebanyakan pengguna akan menggunakan tetapan tersebut. Ia juga menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, akan tetapi kebanyakan permainan yang saya cuba tidak menyokong kadar kelancaran setinggi itu, oleh itu ia adalah lebih kepada penggunaan biasa sahaja.

Seperti telefon-telefon Samsung yang lain, ia juga hadir dengan aplikasi Game Launcher yang bagi saya satu aplikasi hub permainan mudah alih yang baik, pertama ia akan meletakkan permainan di satu tempat, tanpa memerlukan untuk mengurus folder secara sendiri. Ia juga akan memperlihatkan pelbagai informasi mengenai permainan termasuk juga jumlah jam anda bermain.

Melalui aplikasi tambahan Game Booster, pemain juga boleh mengubah pelbagai tetapan untuk memberi pengalaman bermain yang lebih baik. Contohnya, terdapat tetapan untuk menjimatkan bateri, pertengahan dan juga memfokuskan kepada prestasi. semasa percubaan, saya menggunakan tetapan memfokuskan kepada prestasi. Selain itu, ia juga menyertakan fungsi seperti menghalang notification semasa bermain ataupun memudahkan rakaman sesi bermain dan juga tangkapan skrin.

Genshin Impact

Genshin Impact adalah permainan utama yang saya mainkan secara peribadi, oleh itu saya sedikit kecewa dengan prestasi yang di disediakan oleh Samsung Galaxy S21 Ultra. Benar, Genshin Impact adalah permainan yang berat untuk sesuatu peranti pintar akan tetapi sebagai peranti mercu saya merasakan, ia sepatutnya boleh melakukan lebih baik daripada apa yang saya alami.

Dengan tetapan Medium, dan kadar kelancaran 30FPS, di dalam penyataan tetapan ia sepatutnya boleh dijalankan tanpa masalah akan tetapi semasa saya mencubanya terdapat banyak tempat di mana kadar kelancaran jatuh secara rawak. Seperkara yang aneh adalah apabila saya meningkatkan kadar kelancaran 60FPS ia tidak membawa perbezaan prestasi yang ketara dan kadar kelancaran jatuh tetap berlaku dengan kadar yang sama dengan 30FPS.

Oleh itu, pada pengalaman saya, lebih baik bermain secara 60FPS berbanding 30FPS kerana ia membawa permasalahan yang sama sahaja antara kedua-dua. 60FPS sudah semestinya memberi pengalaman yang lebih baik. Saya juga menyedari yang apabila memasuki tempat yang tertutup, seperti Domain ataupun Abyss, masalah sangkut tidak berlaku dan boleh dimainkan secara lancar walaupun dengan pelbagai efek visual serangan.

Berdasarkan pengalaman ini, saya boleh katakan yang Samsung Galaxy S21 Ultra boleh menjalankan permainan dengan lebih baik akan tetapi berkemungkinan Genshin Impact tidak dioptimumkan dengan sempurna di peranti Samsung ataupun untuk peranti Android secara keseluruhan.

Bagi penggunaan bateri, ia menggunakan lebih kurang 20% untuk 1 jam sesi bermain secara 60FPS, mungkin 4-5% lebih rendah jika bermain secara 30FPS. Semasa saya bermain sejam secara terus, peranti terasa sedikit panas tetapi masih boleh dipegang walaupun tidak menggunakan kerangka.

Fortnite

Fornite secara rasminya tidak dikeluarkan untuk peranti Android selepas pergaduhan di antara Epic Games dan Google, namun bagi peranti Samsung, pelancar Epic Games masih lagi boleh dimuat turun melalui Galaxy Store dan menggunakan pelancar tersebut anda boleh memuat turun permainan Fortnite. Epic Games dan Samsung mempunyai kerjasama sebelum ini dan Fortnite telah dibangunkan dengan baik untuk peranti mereka dan kesannya terus diperlihatkan untuk Samsung Galaxy S21 Ultra.

Anda boleh bermain-nya dengan tetapan tertinggi iaitu Epic Setting dan 60FPS, akan tetapi akan ada beberapa ketika yang kadar kelancaran akan jatuh tetapi tidak terlalu kerap. Namun, untuk mendapatkan sesi permainan terbaik, saya boleh cadangkan anda guna Epic Setting/30FPS ataupun High Setting/60FPS, oleh kerana Epic Setting dan High Setting tidak membawa perbezaan yang ketara saya merasakan High Setting/60FPS adalah pilihan terbaik.

Menggunakan antara dua tetapan tersebut ia akan memberikan pengalaman bermain yang baik, dengan hampir tiada sebarang kadar kelancaran jatuh tidak kira bertapa sibuk keadaan di dalam permainan. Bagi penggunaan bateri, ia menggunakan hampir 20% untuk sesi permainan selama sejam dan peranti akan sedikit panas tetapi seperti Genshin Impact, saya masih selesa memegangnya walaupun tanpa menggunakan kerangka.

Call of Duty Mobile

Call of Duty Mobile boleh dikatakan sebagai permainan kesayangan untuk pemain telefon pintar, ia memberikan pengalaman bermain yang baik untuk kebanyakan telefon di pasaran, termasuk juga Samsung Galaxy S21 Ultra yang saya boleh katakan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalankannya.

Saya dapat menggunakan tetapan tertinggi iaitu Very High, dengan Max FPS dan pilihan grafik Realistic. Saya dapat bermain-nya tanpa sebarang masalah kadar kelancaran, walaupun saya menggunakan pelbagai senjata, membaling bom, bermain di peta yang kecil ataupun peta yang luas saya langsung tidak mengalami sebarang masalah. Ia juga perkara yang sama untuk mana-mana mod permainan termasuk juga Battle Royale.

Penggunaan bateri pula adalah dalam lingkungan 18% untuk sesi bermain selama 1 jam, dan walaupun bermain dengan jangka masa yang lama, peranti tidak terasa panas, dan sekadar terasa suam sahaja seperti anda menggunakan telefon untuk penggunaan biasa sahaja. Kita mungkin boleh memberi pujian kepada Timi Studio dan Activision yang membangunkan satu permainan yang baik untuk mengguna sebaiknya kuasa yang disediakan di telefon pintar ini.

League of Legends: Wildrift

Permainan terbaru memasuki arena MOBA untuk peranti pintar, League of Legends: Wildrift cuba mengambil takhta Mobile Legends: Bang Bang, dan perkara pertama untuknya adalah menghasilkan permainan yang baik untuk dimainkan. Berdasarkan percubaan saya menggunakan Samsung Galaxy S21 Ultra, telefon ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain-nya.

Saya menggunakan tetatap Ultra High Definition dengan kadar kelancaran 60FPS, selepas bermain beberapa perlawanan termasuk juga secara terus selama 1 jam, saya tidak pernah sekali pun perasan yang kadar kelancaran jauth daripada 60FPS, ia sentiasa terus kekal dengan kadar kelancaran tersebut. Saya sudah mencubanya untuk berada di satu lane solo, duos ataupun ada juga kesemua pemain termasuk juga lawan berada di satu lane yang sama dan kadar kelancaran tidak terjejas.

Penggunaan bateri juga adalah rendah lebih kurang 15% sahaja untuk sejam dengan menggunakan tetapan tertinggi. Seperti Call of Duty Mobile, ia juga tidak terasa panas walaupun bermain untuk sesi masa yang lama. Ia hanya memberi sedikit rasa suam dan jika anda menggunakan kerangka anda tidak akan merasakannya langsung.

WWE Supercard

WWE Supercard adalah permainan yang boleh dikatakan permainan “guilty pressure” untuk saya. Ia bukanlah permainan yang baik kerana sistem ekonomi yang disertakan akan tetapi ia juga permainan yang saya tidak boleh berhenti bermain. Ia tidak mempunyai kualiti grafik yang memerlukan kuasa yang tinggi akan tetapi saya mengujinya di Samsung Galaxy S21 Ultra untuk memfokuskan kepada pengalaman bermain dengan menggunakan satu tangan.

Permainan ini hanya mempunyai satu tetapan sahaja iaitu 30FPS ataupun 60FPS, dan tidak mengejutkan ia boleh dimainkan secara 60FPS tanpa sebarang masalah. Setiap animasi serta peralihan skrin juga berlaku dengan lancar. Namun, fokus utama saya adalah sesi permainan secara satu tangan.

Rekaan Samsung Galaxy S21 Ultra yang panjang berbanding lebar menjadikan sesi permainan menggunakan satu tangan yang lebih selesa. Saya dapat bermain permainan sepenuhnya menggunakan satu tangan, walaupun ada bahagian atas yang sedikit sukar untuk dicapai tetapi oleh kerana telefon ini adalah ringan dan saya boleh menggerakkannya ke-atas dan ke-bawah tanpa masalah.

Oleh kerana permainan ini tidak mempunyai grafik yang tinggi, penggunaan bateri sangat minima. Sepanjang saya bermain selama sejam, ia menggunakan kurang daripada 10% dan tidak langsung terasa panas.


Samsung Galaxy S21 Ultra sebagai satu peranti terbaik oleh Samsung buat masa ini oleh itu ia sepatutnya boleh bermain permainan mudah alih dengan tanpa masalah dan pada pengalaman saya bermain-nya ia memberi prestasi yang diharapkan untuk telefon pintar ini. Saya sedikit kecewa dengan prestasi untuk permainan Genshin Impact tetapi saya merasakan ia adalah masalah yang dialami oleh keseluruhan Android berbanding untuk telefon ini sahaja.

Skrin, bateri dan kadar pengecasan yang pantas juga memberi nilai tambah untuk sesi permainan video. Ia akan memberikan kualiti paparan yang terbaik untuk sesi permainan, dan saya juga tidak perlu terlalu risau dengan penggunaan bateri. Walaupun hampir kehabisan bateri, ia mengambil masa kurang 2 jam untuk penuh dari kosong. Selain itu, ia juga menyertakan 5G yang saya tidak sangat fokuskan kerana buat masa ini Malaysia masih lagi tidak membawa teknologi ini dengan meluas, namun apabila ia tiba, ia sudah semestinya akan memberi pengalaman bermain terutama permainan dalam talian yang lebih baik.

Selain pengalaman bermain permainan mudah alih, telefon pintar juga mempunyai pelbagai fungsi lain. Jika anda ingin membaca ulasan penuh untuk telefon ini anda boleh lakukannya di laman Amanz melalui pautan ini ataupun tonton video di bawah.

Sohor Kini