Pada minggu lepas, pelbagai perkongsian di sosial media telah menuduh yang pekerja-pekerja dalaman EA telah menjual kad FIFA Ultimate Team dengan tukaran wang tunai. Mereka dikatakan menjual kad-kad yang sukar untuk didapati melalui permainan. Selepas pendedahan tersebut, EA mengatakan yang mereka akan melakukan siasatan untuknya.

Minggu ini, EA telah mengeluarkan kenyataan berdasarkan siasatan awal mereka dapat terdapat beberapa akaun dalaman terlibat dengan penjualan kad FIFA Ultimate Team tersebut, namun mereka tidak mengesahkan jika ia dilakukan oleh pekerja EA ataupun akaun tersebut telah digodam. Mereka mengatakan yang tindakan awal telah diambil dengan akaun-akaun tersebut tidak lagi boleh dikases serta akaun-akaun pemain yang terlibat dengan urusan jual beli juga akan diharamkan untuk selamanya.

EA juga telah menerangkan mengenai sistem Content Granting, iaitu sistem di mana EA akan memberi kad kepada pemain tanpa melalui cara biasa iaitu pembukaan pek, menyelesaikan cabaran dan juga penukaran. Menurut mereka terdapat beberapa senario yang memerlukan mereka menggunakan sistem ini, tiga yang utama adalah apabila pemain kehilangan barangan keranan masalah sistem, untuk percubaan oleh pembangun dan untuk diberikan kepada rakan promosi.

Mereka juga menegaskan yang kebiasaan kad yang diberi melalui Content Granting tidak boleh dipindah milik, oleh itu ia tidak membawa kepada masalah ini. Walau bagaimanapun mereka tetap mengambil tindakan untuk menghentikan dahulu sistem Content Granting ini buat sementara waktu sehinggalah masalah ini disiasat secara sepenuhnya.

Sohor Kini