Returnal adalah permainan seterusnya yang akan dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 5, ia sepatutnya tiba pada bulan ini tetapi telah ditunda ke 30 April untuk mempertingkatkan keseluruhan kualiti sebelum ia dilancarkan. Returnal dibangunkan oleh Housemarque dan akan diterbitkan oleh Sony Interactive Entertainment.
Walaupun kami tidak dapat mencubanya sendiri, akan tetapi SIE serta Housemarque telah memberi peluang kepada kami untuk menonton video bentuk permainan dan juga pengarangan oleh mereka mengenai apa yang pemain boleh dapat melalui Returnal, selain itu kami juga diberi kesempatan untuk mengajukan beberapa soalan kepada Housemarque iaitu Pengarah Naratif Gregory Louden dan Pengarah Pemasaran Mikael Haveri.

Jadi di dalam artikel ini kami akan kongsi pandang pertama untuk Returnal dan juga penerangan lanjut oleh Housemarque. Kami tidak dapat kongsi video penuh, akan tetapi beberapa bahagian daripada video tersebut boleh ditonton melalui “State of Play Gameplay Walkthrough” kami sertakan di bawah.
Housemarque dan Sony
Sebelum kita bercakap mengenai Returnal, mungkin tidak salah untuk serba sedikit memperkenalkan Housemarque. Mereka merupakan studio pembangun permainan video dari Finland dan sudah berkecimpung di dalam industri ini sejak 1995 iaitu lebih 25 tahun yang lepas. Mereka sudah mengeluarkan permainan untuk pelbagai genre tetapi kepakaran utama sudah semestinya permainan menembak, antara permainan yang dikeluarkan oleh mereka adalah Resogun, Alienation dan Matterfall.
Kebanyakan permainan mereka, terutama untuk dekad yang lepas dikeluarkan untuk platform Sony iaitu PlayStation 3, PlayStation 4 dan juga PlayStation Vita secara eksklusif, dan Returnal adalah eksklusif untuk PlayStation 5. Menurut Housemarque, sejak 13 tahun lepas mereka telah berkembang bersama dengan Sony dan juga Xdev, dan melalui perhubungan ini dan juga kepercayaan di antara mereka memberikan mereka keyakinan untuk mengambil risiko bagi membangunkan pelbagai jenis permainan yang berbeza.
Kematian Adalah Permulaan
Di dalam Returnal pemain akan mengawal watak Selene iaitu seorang angkasawan, apabila menjawab panggilan kecemasan dari satu planet Atropos, dia telah terhempas dan perlu melalui kawasan tersebut yang mempunyai pelbagai jenis penjahat. Tidak lama selepas pertama kali dia terhempas, Selene terus mati akan tetapi dia menyedari yang selepas ‘kematian’ tersebut dia kembali kepada saat sebelum dia terhempas dan bermulalah kitaran permainan Returnal.
Dengan kata lain, Returnal adalah permainan roguelite iaitu satu genre yang menjadi makin popular terutama dengan hadirnya permainan seperti Hades, Dead Cells dan Slay the Spire. Bercakap mengenai pemilihan genre ini, Housemarque mengatakan yang roguelike adalah genre yang mendesak pembangun untuk hadir dengan sesuatu yang inovatif, oleh itu ia penuh dengan pelbagai kelainan.
Bagi Returnal, mereka cuba membawa permainan menembak sudut pandangan ketiga yang terbaik untuk genre ini dan merasakan ia secara sendirinya adalah sesuatu yang unik. Tambahan daripada itu, mereka juga menyertakan pelbagai lapisan penceritaan termasuk juga mengenai mekanik kitaran yang hadir, ia akan membawa sesuatu yang baharu kepada genre ini.


Setiap kali pemain mati, permainan akan mencipta kawasan baharu secara rawak, oleh itu pemain akan sentiasa melalui kawasan berbeza setiap kali memulakan kitaran baharu. Ia juga akan memberikan cabaran yang berlainan, seperti yang diperkatakan sebelum ini, mereka cuba menjadikan permainan ini tanpa pengakhiran. Bagi memberi perasaan kemajuan beberapa barangan boleh diakses dengan lebih cepat oleh pemain selepas mendapatnya sebelum ini, di dalam video mereka juga memperlihatkan apabila pemain mengalahkan satu bos, pemain dapat mengakses kawasan baharu, ia boleh terus diakses walaupun selepas pemain mati untuk kitaran tersebut.
Adakah ia akan mempunyai pengakhiran? Menurut Housemarque pemain tidak boleh menjangkakan struktur yang biasa untuk Returnal, di dalam video yang kami lihat ia mempunyai penanda misi mengenai apa yang harus dilakukan oleh pemain, tetapi mereka mengatakan yang ia boleh membantu pemain akan tetapi terdapat pelbagai kawasan tersorok dan juga rahsia yang boleh dicari oleh pemain. Selain mati, terdapat cara lain untuk satu kitaran permainan berakhir, namun mereka mengesahkan yang kitaran akan sentiasa berlaku.
Mereka juga mengatakan yang apabila pemain merasakan mereka sudah melakukan segala cabaran di dalam permainan ini, mereka berharap yang pemain akan terus bermain dan terus dapat mencuba sesuatu yang baharu, mereka juga akan menyertakan cabaran harian di mana peta akan diubah setiap hari dan akan mempunyai penjahat berbeza. Di dalam mod ini, ia juga akan menyertakan leaderboard untuk pemain membandingkan prestasi mereka dengan pemain lain.
Misteri Mengenai Selene
Di dalam permainan ini, Selene berseorangan di planet Atropos oleh itu penyampaian penceritaan adalah terhad. Berdasarkan apa yang diperlihatkan, kami dapati antara cara penceritaan disampaikan adalah dengan menjumpai rakaman yang menceritakan mengenai apa yang sedang berlaku, selain itu Selene juga bermonolog, dan paling menarik adalah apabila Selene menjumpai satu rumah, anda boleh lihat sebahagian kecil daripadanya di video di atas.
Di dalam rumah tersebut, ia akan menyampaikan penceritaan dengan sangat berbeza, bahkan ia bagaikan satu permainan yang berlain. Berbanding perspektif third person seperti biasa, pemain akan berubah menjadi first person dan pemain boleh menyiasat rumah tersebut untuk mencari pelbagai maklumat mengenai Selene sendiri. Ia juga terasa seperti permainan seram.


Menurut Housemarque, di dalam Returnal penceritaan disampaikan dengan pelbagai sistem yang berbeza dan pemain boleh memilih untuk mencarinya dan ada juga penceritaan yang pemain harus lalui sebelum dapat meneruskan permainan. Cara penyampaian ini akan menjadikan ada bahagian penceritaan yang pemain mungkin akan terlepas, namun oleh kerana permainan akan sentiasa mempunyai kitaran baharu pemain boleh mencarinya semula.
Mereka juga telah mencipta pelbagai lapisan penceritaan seperti log audio, dan juga rumah seperti yang kami perkatakan di atas. Seperti collectible lain, kesemua perkara yang dijumpai juga akan disertakan di dalam ‘data bank’ untuk memastikan pemain tidak terlepas ataupun jika pemain memilih untuk baca atau dengannya kemudian.
Permainan Menembak Pantas, Dengan Rekaan Grafik Yang Menarik
Kepakaran Housemarque adalah menghasilkan permainan menembak, akan tetapi ini adalah pertama kali mereka menghasilkan permainan secara third person, sebelum ini mereka hadir dengan side-scrolling dan juga dari sudut pandangan atas. Berdasarkan apa yang diperlihatkan, Returnal membawa permainan menembak yang pantas, dengan penjahat akan melakukan serangan dari jarak dekat dan juga jarak jauh.
Kebiasaan untuk permainan Housemarque sesetengah penjahat juga akan menembak dengan partikel yang akan memenuhi ruang. Ia akan memerlukan pemain untuk mengelak dengan cekap. Contohnya, melalui satu pertempuran bos yang diperlihatkan, ia tidak sangat bergerak tetapi melakukan serangan jarak jauh dalam pelbagai bentuk. Selain menyerang, pemain perlu mengelak dengan cekap. Pemain boleh mengelak secara ke-tepi menggunakan dash dan juga dengan melompat. Menurut Housemarque, pergerakan adalah sama penting dengan menembak, ia juga penting untuk mengembara. Selain dash dan juga melompat, pemain juga boleh mendapat “hook shot” yang membolehkan pemain untuk grapple ke arah penjahat ataupun melompat dengan lebih tinggi.


Seperkara lagi perkara yang penting mengenai sistem pertempuran adalah penggunaan senjata, di dalam Returnal pemain hanya boleh membawa satu senjata sahaja pada satu masa akan tetapi setiap senjata akan mempunyai keunikan tersendiri, ia juga mempunyai “alternative fire” yang juga akan hadir secara rawak. Seperti kami laporkan sebelum ini, Returnal menyertakan 10 jenis senjata,yang mempunyai pelbagai kelebihan berbeza dan menurut Housemarque terdapat lebih 90 kelebihan untuk senjata yang diperoleh secara rawak. Selain itu terdapat juga 10 tembakan-alternatif berbeza. Ini akan membawa ribuan kombinasi yang berbeza.
Housemarque juga mengatakan yang apabila pemain menjumpai senjata baharu ia akan memberikan perasaan yang biasa, akan tetapi ia terasa unik. Bagi mereka, fokus permainan ini bukanlah untuk mencari senjata terbaik, sebaliknya mencari kepelbagaian kombinasi berbeza yang boleh dijumpai.
Rekaan grafik untuk permainan ini juga nampak sangat menarik, terutama dengan kepelbagaian rekaan untuk kawasan yang akan dilalui oleh pemain. Rekaan penjahat juga sangat menarik, ini ditambah lagi dengan Returnal banyak menggunakan warna yang gelap akan tetapi sesetengah benda seperti tumbuhan, penjahat dan juga serangan akan mempunyai warna yang terang. Berdasarkan video bentuk permainan, ia juga nampak sangat lancar walaupun semasa keadaan yang sibuk dengan pelbagai partikel dari senjata dan juga penjahat.
Returnal sudah semestinya satu permainan yang kami tidak sabar untuk cuba. Roguelite bukanlah satu genre kegemaran kami, tetapi dengan apa yang diperlihatkan ia tampaknya membawa satu yang berlainan dengan kebiasaan. Berbanding sekadar roguelite, ia juga adalah satu permainan aksi dan juga pengembaraan yang menarik. Tambahan lagi, ia adalah permainan seterusnya yang akan dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 5, oleh itu ia mungkin akan menjadi permainan yang mengguna-pakai sepenuhnya spesifikasi konsol tersebut.