Skip to main content

Kita sudah memasuki bulan terakhir untuk suku pertama bagi tahun ini, dan buat masa ini ia masih lagi permulaan yang perlahan untuk pengeluaran permainan video. Nintendo Switch telah menerima beberapa permainan menarik, contohnya mereka mendapat Super Mario 3D World + Bowser’s Fury dan Bravely Default II pada bulan lepas.

Manakala bagi PlayStation 5 dan Xbox Series pula buat masa ini mereka masih tidak menerima permainan yang benar-benar memperlihatkan “ini adalah permainan generasi baharu”. Pada bulan ini, tampaknya perkara yang sama. Switch menerima beberapa permainan menarik seperti Monster Hunter Rise dan Story of Seasons: Pioneers of Olive Town, tetapi tiada permainan ‘mercu’ untuk konsol Sony dan juga Microsoft. Namun, ia ada mendapat beberapa permainan indie yang menarik.

Berikut adalah 7 permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini.

Maquette

Maquette merupakan permainan tekaria yang dibangunkan oleh Graceful Decay dan diterbitkan oleh Annapurna Interactive. Ia dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan juga PC. Bagi pemilik PS5, ia boleh didapati secara percuma melalui langganan PS Plus untuk bulan ini. Ia sudah dikeluarkan pada 2 Mac 2021.

Di dalam permainan ini, segala benda adalah terlalu besar dan juga kecil pada masa yang sama. Anda akan mempunyai kawasan yang bersaiz sebenar, bersaiz lebih besar dan juga bersaiz lebih kecil. Menariknya, jika anda melakukan perubahan kepada kawasan kecil, ia juga akan berlaku untuk yang bersaiz besar. Contohnya jika anda mempunyai bongkah yang menghalang satu pintu, tetapi ia terlalu besar untuk diangkat, anda boleh sebaliknya mengangkat benda yang sama tetapi bersaiz kecil.

Harvest Moon One World

Harvest Moon One World adalah permainan seterusnya untuk siri simulasi berkebun oleh Natsume ini. Walaupun membawa nama Harvest Moon tetapi ia bukanlah permainan yang dibangunkan oleh pembangun asal untuk siri ini, namun ia masih lagi permainan yang mempunyai pengikut tersendiri. Ia dikeluarkan pada 2 Mac 2021 untuk PlayStation 4, Xbox One dan Switch.

Di dalam One World, ia mengekalkan bentuk permainan utnuk simulasi berkebun, tetapi mereka memperkenalkan enjin permainan baharu yang menjanjikan grafik yang lebih baik. Selain itu, ia juga mempunyai beberapa perubahan untuk bentuk permainan seperti biji benih. Pada permulaan anda hanya mempunyai biji benih untuk menanam kentang dan perlu mencari biji benih lain daripada Harvest Wisps dan juga dengan menanam sesuatu biji benih di kawasan-kawasan berbeza. Anda juga boleh memindahkan kawasan kebun dan juga rumah ke tempat-tempat lain.

Story of Seasons: Pioneers of Olive Town

Satu lagi permainan simulasi berkebun, dan bagi yang mengikuti siri permainan ini, ia merupakan permainan asal yang dikenali sebagai Harvest Moon. Namun selepas mereka ingin menerbitkan permainan sendiri, dan Natsume merupakan pemilik untuk jenama Harvest Moon mereka menukar judul kepada Story of Seasons. Ia akan dikeluarkan pada 23 Mac untuk Nintendo Switch.

Sepertimana permulaan untuk mana-mana permainan Story of Seasons, anda meninggalkan kehidupan bandar untuk menetap di perkampungan. Ia juga mengekalkan kebanyakan bentuk permainan iaitu sandbox untuk membentuk kebun anda sendiri. Pemain juga boleh mencari kawasan-kawasan rahsia seperti kebun yang tidak akan berubah musim ataupun pulau di atas angin.

It Takes Two

Permainan seterusnya oleh Hazelight Studios dan juga Josef Fares sudah semestinya dinantikan-nantikan. Ini ditambah lagi mereka terus membawa ke-depan konsep permainan secara koperasi, seperti A Way Out dan ia juga sekali lagi akan diterbitkan oleh EA. Ia akan dikeluarkan pada 26 Mac 2021 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal Cody dan May iaitu ibu dan bapa kepada seorang kanak-kanak yang bersedih kerana mereka sering bergaduh. Oleh kerana satu magis, mereka bertukar menjadi patung mainan dan perlu bekerjasama untuk melalui pelbagai halangan. Permainan ini dikatakan menyertakan pelbagai mekanik permainan yang berlainan pada setiap peringkat agar ia tidak menjadi bosan. Seperti A Way Out ia perlu dimainkan secara koperasi dua pemain secara dalam talian ataupun setempat. Satu pembelian boleh dimainkan oleh dua pemain, tanpa memerlukan pembelian kedua.

Balan Wonderworld

Balan Wonderworld merupakan permainan pertama oleh Balan Company iaitu studio yang baru ditubuhkan oleh Square Enix bersama dengan Yuji Naka iaitu veteran di dalam industri permainan video yang terkenal dengan siri permainan Sonic. Balan Wonderworld akan dikeluarkan pada 26 Mac untuk semua platform.

Ia merupakan permainan 3D aksi platformer di mana pemain berpeluang untuk mendapat pelbagai kostum yang akan memberikan kebolehan yang berbeza. Pemain boleh menggunakan tiga kostum pada satu masa, dan jika pemain kehilangan kesemua kostum perlu kembali kepada permulaan checkpoint. Ia akan mempunyai 12 bab di dalam penceritan.

Monster Hunter Rise

Monster Hunter World mungkin tidak akan dikeluarkan untuk Switch, akan tetapi dengan hadirnya Monster Hunter Rise, pemain mungkin tidak begitu meminta untuk World dilancarkan di konsol mudah alih tersebut. Monster Hunter Rise boleh dikatakan sebagai permainan keenam untuk siri ini, walaupun ia buat masa ini diumumkan untuk Switch sahaja. Dengan kata lain kembali seperti permainan Monster Hunter sebelum World. Ia akan dikeluarkan pada 26 Mac untuk Switch, dan menurut beberapa laporan untuk PC pada awal tahun 2022.

Seperti permainan Monster Hunter sebelum-sebelum ini, Rise juga mempunyai kitaran permainan yang sama. Pemain akan memburu pelbagai raksasa untuk menghasilkan perisai serta senjata yang lebih berkuasa. Ia juga akan membawa kesemua jenis senjata dan peta yang terbuka seperti di dalam World. Namun, ia memfokuskan kepada pemain untuk mendaki dan menyertakan pelbagai peralatan untuk melakukannya.

Kingdom Hearts

Kingdom Hearts bukanlah permainan baharu, akan tetapi pada 30 Mac ini ia akhirnya dikeluarkan untuk PC. Dengan kata lain, pemain tidak lagi memerlukan konsol untuk bermain kesemua siri Kingdom Hearts yang dikeluarkan setakat ini. Ia akan memberi peluang kepada lebih ramai pemain untuk mencubanya. Namun, di PC ia akan dikeluarkan secara eksklusif di Epic Games Store, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat.

Bagi yang tidak biasa dengan permainan ini, ia adalah permainan aksi RPG yang menyertakan watak gabungan daripada siri permainan Square Enix dan juga watak-watak Disney. Ia menyertakan kemajuan yang linear dengan pemain akan melalui beberapa dunia, tetapi ia juga menyertakan pelbagai aktiviti sampingan yang boleh dilakukan oleh pemain. Penceritaan Kingdom Hearts mungkin sedikit bercelaru, tetapi dengan kesabaran anda mungkin memahaminya.


Selain permainan-permainan di atas, sudah semestinya terdapat pelbagai lagi permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini. Antaranya Yakuza Like a Dragon yang akhirnya tiba untuk PS5, Mortal Shell kini dikeluarkan untuk konsol genereasi terkini dan Apex Legends yang akhirnya akan dikeluarkan untuk Nintendo Switch.

Pastikan anda terus mengikut Aksiz untuk pengumuman terbaru mengenai permainan yang akan dikeluarkan dan juga berita-berita lain permainan video.

Leave a Reply