Presiden Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan, melalui temubual bersama dengan laman GQ telah berkongsi beberapa maklumat terbaru mengenai PlayStation 5, antara yang dipercakapkan adalah PSVR baharu yang baru sahaja kami laporkan.

Selain itu, beliau juga mengatakan yang mereka sedang mencuba sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan konsol generasi terkini tersebut, dan ia mungkin akan menjadi lebih baik pada separuh kedua pada tahun ini.

Bercakap mengenai permainan yang akan tiba pada tahun ini, beliau mengesahkan yang Returnal, Ratchet & Clank: Rift Apart dan Horizon Forbidden West akan tiba pada tahun ini, manakala Gran Turismo 7 telah ditunda ke tahun hadapan akibat pandemik Covid-19.

Dengan pelancaran Horizon Zero Dawn di PC, Jim Ryan mengatakan yang penerimaan pemain adalah baik, dan komuniti PlayStation juga tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya. Oleh itu mereka akan membawa lebih banyak permainan ke PC, bermula dengan Days Gone pada suku kedua tahun ini.

Seperti mana tawaran untuk Fall Guys, Bugsnax dan Destructive AllStars, Jim Ryan mengatakan yang mereka akan menawarkan permainan baharu secara percuma kepada pelanggan PS Plus dari semasa ke semasa, terutama permainan yang diterbitkan oleh mereka.

Anda boleh baca temubual penuh melalui pautan ini.

Sohor Kini