Blizzard ketika acara pembukaan untuk Blizzcon yang dianjurkan secara dalam talian telah melakukan pengumuman mengenai kemaskini yang akan tiba bagi permainan MMO mereka World of Warcraft. Mereka membawa penambahan untuk World of Warcraft Shadowlands dan juga World of Warcraft Classic.

Bagi WoW Shadowlands kemaskini pertama untuknya digelar sebagai Chains of Domination. Melaluinya ia akan meneruskan penceritaan bagi permainan ini dan pemain akan melawan Jailer. Kawasan endgame baharu yang disertakan adalah Korthia. Raid pula adalah Sanctum of Domination iaitu raid melawan dengan 10 pertempuran bos dan bos terakhir adalah Sylvanas Windrunner.

Manakala untuk World of Warcraft Classic pula, Blizzard telah membawa kembali penambahan pertama untuk permainan tersebut yang sebelum ini dikeluarkan pada tahun 2007 iaitu Burning Crusade. Apabila ia tiba, pemain boleh memilih untuk terus berada di pelayan Classic ataupun beralih ke pelayan Burning Crusade. Pemain juga boleh membayar untuk membuat salinan watak untuk menggunakannya di kedua-dua pelayan.

Buat masa ini, kedua-dua penambahan masih tidak mempunyai sebarang tarikh pelancaran tetapi ia akan tiba di dalam masa terdekat. Bagi anda yang pemain setia World of Warcraft, pelbagai kandungan menanti untuk anda terokai.

Sohor Kini