Minggu ketiga DokuRobu dan aku rasakan tiba masanya untuk mencari kandungan yang lebih santai, tenang, ringan dan lebih serasi dengan budaya pop Aksiz. Kita kembali ke Curiosity Stream kerana pada waktu ini adalah platform penstriman yang paling banyak aku habiskan masa sambil membuat kerja di rumah.

Dokumentari minggu ini ialah My Comic Shop Country oleh Anthony Desiato. Premis dokumentari ini ialah cuba menjawab persoalan mengapa kedai komik di Amerika Syarikat kini hilang satu persatu seperti petikan jari Thanos walaupun filem adiwira kini sedang melalui zaman keemasan. Filem-filem Marvel Cinematic Universe sahaja telah mengutip $22.56 bilion di panggung wayang tetapi tahun lalu Marvel membuang pekerja dan jumlah penerbitan komik dikurangkan.

Desiato mendapat idea untuk menghasilkan dokumentari ini selepas kedai komik yang dilawati beliau bertahun lamanya terpaksa gulung tikar. Dokumentari dihasilkan pada tahun 2019 dan dianggarkan hanya tinggal 3000 kedai komik masih beroperasi. Jumlahnya kini lebih menyedihkan kerana Covid-19. Hanya dua dekad yang lalu terdapat lebih kurang 10,000 kedai.

Beliau kemudian pergi ke seluruh Amerika Syarikat dan menemuramah beberapa pemilik kedai untuk mencari jawapan mengapa kedai komik pupus walaupun watak adiwira komik kini mendominasi layak perak.

Terdapat beberapa jawapan untuk soalan ini dan ia sebenarnya lebih kompleks dari jawapan standard “orang sekarang lebih gemar membaca versi digital”. Antara sebab yang kami rasakan menarik ialah komik itu sendiri sukar untuk diakses oleh orang ramai. Terdapat masalah elitisme di kalangan pembaca komik. Aku boleh katakan begini kerana semasa dekad 90an hingga awal 2000 aku tergolong dalam kategori pengumpul komik barat, Jepun dan Hong Kong.

Membaca komik Jepun dan Hong Kong mudah kerana komik yang dibaca mungkin hanya berusia beberapa dekad (One Piece misalnya telah diterbitkan sejak 1997). Untuk membacanya sekarang kerana mudah mencari isu lama dalam bentuk komik jilid kompilasi. Katakan hari ini anda ingin mula membaca Batman, dari mana harus anda mula untuk komik yang sudah diterbitkan sejak 1939. Perlu baca yang mana dulu? Killing Joke, Hush, The Dark Knight Returns, Death in The Family atau New 52 sahaja dengan susur masa moden.

Golongan comic nerd pula bukanlah manusia yang sukakan outsiders kerana mereka sendiri outsider yang dibuli semasa di sekolah. Bila komik mula popular kerana MCU, mereka tidak menerima peminat baru dengan tangan terbuka kerana masih tersakiti seperti Arthur Fleck. Kombinasi terlalu sukar untuk mula membaca dan pembaca sedia ada yang tidak mahu membantu antara sebab kedai komik mati yang tidak kami sangka.

Kesalahan turut diletakkan pada bahu penerbit komik yang tidak mempunyai polisi memulangkan buku tidak terjual dan mengulang semula idea lapuk. Walaupun pemilik kedai komik dan peminat komik sahaja di temuramah Desiato, kesilapan turut diletakkan di tangan empunya kedai. Keengganan mengubah model perniagaan yang ketinggalan zaman turut menyumbang.

Sebagai peminat komik yang telah berhenti membaca komik hampir dua komik dua dekad lalu, My Comic Shop Country masih berjaya memeranjatkan aku dengan realiti sebenar kedai komik. Ia bukanlah perniagaan yang seronok seperti yang diimpikan dan dalam kebanyakan kes langsung tidak menguntungkan.

Antara kuotasi paling menarik dalam dokumentari ini ialah “bagaimana ingin memiliki sebuah kedai komik bernilai $1 juta? Memulakan perniagaan dengan $2 juta”.

My Comic Shop Country dihasilkan di Amerika Syarikat tetapi kedai komik di Malaysia turut menerima nasib yang sama. Kesemua 6 kedai komik yang aku kerap pergi semasa muda belia dahulu sudahpun pupus (RIP The Mind Shop dan Comics Corner). Cuma situasi di Malaysia lebih kronik kerana harga komik barat yang melonjak naik kerana kadar pertukaran Dollar yang tinggi. Dahulu aku boleh beli satu komik Marvel pada harga RM5.40 tetapi kini harganya melonjak puluhan ringgit sehingga tidak lagi masuk akal untuk meneruskan hobi T20 ini.

Kritikan yang boleh aku berikan ialah ia hanya mengambil pendapat dari dua pihak (tuan punya kedai dan pembaca) dengan hanya seorang wakil penerbit aktif di temuramah (dari Archie Comics dan bukan dari The Big Two). Kualiti penerbitannya juga kurang profesional keran ini ialah sebuah projek indie.

Tetapi My Comic Shop Country masih lagi sebuah dokumentari yang aku sarankan ditonton kerana ia adalah subjek yang jarang disentuh dan masih mampu memberikan fakta baharu aku seorang peminat komik. Jika anda mahukan jawapan kenapa kedai komik semakin pupus, dokumentari ini mampu memberikan jawapannya.

Tonton My Comic Shop Country menerusi Curiosity Stream hari ini.

Sohor Kini