Penggodam Meminta RM28 Juta Untuk Data CD Projekt Yang Dicuri

Beberapa hari lepas kami melaporkan yang penggodam telah berjaya memasuki sistem dalaman CD Projekt dan mencuri pelbagai data daripada mereka termasuk juga kod sumber untuk permainan Cyberpunk 2077, The Witcher dan Gwent. Mereka juga memperoleh data yang berkait dengan sumber manusia, kewangan dan juga pelaburan.

Berdasarkan ciapan oleh VX-Underground iaitu akaun Twitter yang memfokuskan kepada perkongsian berkait dengan perisian hasad, penggodam telah membuka bidaan untuk data-data tersebut di mana mereka memulakan dengan $1 juta (~RM4 juta), dan meminta $7 juta (~RM28 juta) untuk mendapatkannya secara terus.

CD Projekt sebelum ini telah menegaskan yang mereka tidak akan menghubungi penggodam ataupun melakukan sebarang transaksi untuk menghalang daripada data-data tersebut disebarkan. Sebaliknya mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga jika data tersebut diedarkan.

Berdasarkan penyenaraian oleh penggodam, mereka juga mempunyai data yang berakit dengan kesalahan dilakukan oleh CD Projekt Red, apa yang dimaksudkannya, kita hanya boleh sekadar menantikan apa yang akan berlaku selepas ini.

Sohor Kini