Selepas kejayaan Disney dan Marvel memperkenalkan dunia tersendiri untuk 23 filem yang mempunyai kesinambungan antara satu sama lain dalam masa 11 tahun – ramai studio lain turut ingin mengikut strategi ini. Tidak dinafikan ada yang gagal, seperti Dark Universe dari Universal Pictures. Sony turut sedang fokus dan berusaha membina dunia filem tersendiri melalui watak Spider-Man – Sony Pictures Universe of Marvel Characters (SPUMC).

Antara projek yang Sony sedang bangunkan adalah, menghasilkan filem-filem sampingan memfokuskan watak-watak komik Spider-Man. Antaranya adalah Dusk, Silk, Jackpot dan Spider-Woman yang diarahkan oleh Olivia Wilde. Sementara menantikan filem sekuel Venom dan Morbius – Sony kini dilaporkan sedang membagunkan filem Kraven Then Hunter. Menurut The Illuminerdi, Keanu Reeves telah ditawarkan untuk memainkan watak Kraven The Hunter dalam satu filem solo yang dikatakan digelar Kraven.
Keanu Reeve masih tidak memberikan keputusan muktamad. Tetapi agak menarik untuk melihat sebuah lagi filem yang memfokuskan watak penjahat Spider-Man berada dalam rancangan Sony. Melalui filem ini, watak Scarlet Spider juga mungkin boleh diperkenalkan. Filem ini dilaporkan akan menggunakan tema seakan filem Logan dan juga filem Man of Fire.

Kraven The Hunter atau nama sebenar beliau Sergei Nikolaievich Kravinoff, lahir di Volgograd, Rusia. Beliau mempunyai kebolehan adi-kuat, adi-pantas, deria yang hebat seakan kucing hutan selepas mengambil jamu dari ahli sihir Voodo Calypso. Melalui jamu ini, Kraven turut boleh hidup lama dan kekal sihat. Watak beliau pada awalnya adalah adiwira dan turut bekerjasama dengan Nick Fury dalam pasukan Avengers 1959. Tetapi selepas dihasut oleh Chameleon iaitu Dmitri Smerdyakov (adik tiri Kraven) untuk memburu Spider-Man – Kraven berubah menjadi penjahat.