Ulasan The Medium – Permainan Sempurna Untuk Xbox Game Pass

Bloober Team mengatakan yang The Medium adalah permainan yang hanya boleh dikeluarkan untuk konsol generasi baharu dan juga PC yang mempunyai spesifikasi mencukupi. Sistem dwi-realiti yang digunakan di dalam permainan ini memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi kerana ia bagaikan menjalankan dua permainan dalam satu masa.

Selain sistem yang ‘unik’ ini, mereka juga menjanjikan pengalaman penceritaan yang mendalam melalui permainan aksi pengembaraan seram ini. Dikeluarkan secara eksklusif untuk Xbox Series dan PC, The Medium juga disertakan secara terus di dalam Xbox Game Pass semasa ia dilancarkan pada 28 Januari 2021 lepas, adakah The Medium satu permainan seperti yang dijanjikan dan adakah ia berbaloi untuk anda luangkan masa bermain?

Penceritaan Yang Menarik Perhatian

The Medium memfokuskan penceritaan-nya kepada watak yang akan dikawal oleh pemain iaitu Marianne. Dia mempunyai kebolehan dapat berkomunikasi dengan benda-benda di alam ghaib seperti roh orang yang sudah mati. Selepas mengebumikan penjaganya, dia mendapat satu panggilan daripada seorang lelaki bernama Thomas. Thomas mengatakan yang dia tahu mengenai kebolehan Marianne dan memintanya untuk menyiasat di satu pusat percutian, Niwa.

Ingin tahu mengenai perkara tersebut, Marianne pergi ke Niwa yang sudah lama ditinggalkan kerana berlakunya pembunuhan besar-besaran di tempat itu. Selepas tiba di Niwa, dia terpaksa menyiasat mengenai apa yang berlaku di tempat itu untuk mencari identiti lelaki yang bernama Thomas.

Sepertimana permainan-permainan misteri seram yang lain, The Medium mempunyai elemen misteri yang diterapkan ke dalam keseluruhan penceritaan, namun apa yang unik serta menjadikan ia menarik adalah penceritaan di sampaikan dengan pelbagai lapisan akan tetapi ia berkait dengan satu sama lain dengan baik sekali. Apa yang saya rasakan mengenai penceritaan tidak mengambil masa yang lama untuk ia berubah menjadi satu yang berlainan dan berkembang dengan pelbagai penceritaan lain.

Kelajuan penceritaan juga dilakukan dengan baik, saya tidak merasakan mana-mana bahagian penceritaan terlalu perlahan ataupun ia disampaikan dengan terlalu gopoh, sehinggakan ia sukar untuk difahami. Misteri yang digunakan bagi saya mudah untuk dijangkakan, akan tetapi akan ada beberapa elemen yang disampaikan dengan secara mengejut. Kejutan-kejutan ini juga tidak terasa penulisan yang malas ataupun ‘murahan’ sebaliknya ia memberi nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan permainan ini.

Pengakhiran yang dipilih mungkin tidak akan digemari oleh sesetengah pemain kerana tidak menutup dengan penuh, mungkin ramai yang merasakan ia adalah satu ‘umpan’ untuk permainan susulan akan tetapi bagi saya ia adalah pengakhiran yang memberi peluang kepada pemain untuk memilih sendiri apa yang berlaku di pengakhiran tanpa bergantung kepada satu jawapan sahaja. Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan penceritaan yang disertakan bahkan merasakan ia adalah kekuatan utama untuk permainan ini, terutama kerana bentuk permainan yang tidak sangat menarik.

Bentuk Permainan Terlalu Meleret

Saya tidak menyukai permainan seram, sudah terdapat banyak permainan yang saya tidak dapat habiskan kerana tidak menyukai elemen seram yang disertakan. Dengan saya dapat menghabiskan permainan ini, ia boleh menggambarkan tahap seram untuknya iaitu ia tidaklah terlalu seram. Persekitaran, penggunaan muzik latar dan juga kesan bunyi memberi perasaan gementar ataupun cemas tidak sangat ringan jika ingin dibandingkan dengan permainan seram yang popular.

Ia adalah baik untuk pemain seperti saya yang tidak menyukai elemen seram, tetapi bagi pemain yang menyukai elemen tersebut, dan saya rasa kebanyakan pemain yang tertarik dengan permainan ini adalah pemain yang menyukai permainan seram mungkin akan sedikit kecewa dengan apa yang disertakan di dalam permainan ini. Saya boleh katakan yang anda perlu menganggap ia adalah permainan pengembaraan misteri berbanding permainan seram agar anda tidak meletakkan harapan yang tinggi untuknya.

Satu masalah yang saya rasakan lebih bersifat menyeluruh adalah bentuk permainan sangat meleret. Kebiasaan anda akan memasuki satu kawasan dan perlu mencari cara untuk pergi ke kawasan seterusnya. Ia biasanya melibatkan anda perlu mencari sesuatu barangan, ataupun mencari cara untuk membuka pintu dan juga kunci. Tekaria untuk menyelesaikan kesemua ini adalah ringkas, dan biasanya memerlukan pemain berjalan sahaja tanpa sangat perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan.

Penggunaan dwi-realiti adalah menarik akan tetapi penggunaan secara keseluruhannya tidak sangat menguja-kan. Ia lebih berguna sebagai elemen penceritaan berbanding memberi nilai tambah kepada bentuk permainan. Jika mereka tidak menyertakan elemen dwi-realiti ini, saya merasakan ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada bentuk permainan. Perkara ini bagi saya sangat mengecewakan kerana di atas kertas, sistem ini sangat menarik dan boleh diterokai lagi penggunaannya.

Ia tidak menyertakan sebarang pertempuran, sekurang-kurangnya secara terus. Kebiasaan saya sekadar perlu menggunakan perangkap ataupun menyelinap. Ia menarik pada awalnya, akan tetapi terasa berulang selepas beberapa kali perlu dilakukan. Ia memberi kelainan kepada sesi permainan tetapi tidak mencukupi untuk membuatkan ia tidak terasa terlalu meleret.

Satu perkara yang sedikit menjadikan bentuk permainan boleh diterima adalah ia tidak mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Saya mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam sahaja, dan jika pemain ingin mengambil masa bermain seperti mencari kesemua “collectible” ia mungkin mengambil 9 hingga 10 jam sahaja. Jika pemain ini mengambil masa yang lebih lama, saya merasakan ia akan menjadi bertambah meleret dengan apa yang disampaikan.

Grafik Yang Baik Tetapi Prestasi Tidak Menentu

Saya telah mencuba permainan ini di PC dan juga Xbox Series X, secara keseluruhan saya mendapati kualiti grafik yang lebih baik di PC saya yang menggunakan RTX 2060 berbanding di Xbox Series X terutama saya boleh mendapat kelancaran sehingga 60FPS di PC, tetapi di Xbox Series X ia dikunci setakat 30FPS sahaja. Pada amnya, kedua-dua memberikan kelancaran yang stabil akan tetapi terdapat banyak kawasan ia akan jatuh dengan sangat rendah terutama di PC.

Jika 60FPS di kawasan biasa, ada kawasan yang akan jatuh sehingga kurang 30FPS terutama apabila berlakunya dwi-realiti yang seperti saya katakan sebelum ini, ia bagaikan menjalankan dua permainan secara serentak. Manakala di Xbox Series X kelancaran lebih baik kerana ia dikunci kepada 30FPS sahaja tetapi ada kawasan yang ia masih lagi jatuh walaupun tidak terlalu kerap.

Selain itu, saya boleh katakan rekaan grafik yang disertakan di dalam permainan ini adalah baik. Rekaan persekitaran sangat berkesan untuk memberi perasaan misteri serta sedikit perasaan seram. Ini terutama apabila pemain memasuki alam ghaib. Rekaan watak terutama makhluk-makhluk juga dilakukan dengan baik, bersesuaian dengan tema bagi permainan ini.

Riak wajah dan juga pergerakan tubuh ada masa nampak sedikit aneh, akan tetapi secara keseluruhannya ia adalah berkualiti dan memberi pengalaman yang baik. Selain kelancaran yang tidak stabil saya tidak mempunyai rungutan mengenai penyampaian grafik di dalam permainan ini, namun sedikit mengecewakan yang kuasa yang diperlukan untuk menghasilkan dwi-realiti tidak sepenuhnya memberikan bentuk permainan yang berbaloi.

Kesimpulan

The Medium adalah satu permainan yang baik, saya mempunyai masa yang berkualiti bermain permainan ini, terutama dengan penceritaan yang sangat menarik serta disampaikan dengan berkesan. Kepelbagaian lapisan penceritaan yang disertakan menjadikan ia sentiasa membawa misteri yang baharu dan terus menarik perhatian saya.

Meskipun begitu, saya merasakan yang bentuk permainan boleh ditambah-baik untuk menyertakan tekaria ataupun pengembaraan yang lebih menarik. Bagi peminat permainan serama, mereka juga mungkin inginkan ia menjadi lebih seram berbanding yang disampaikan.

Oleh itu, saya sangat mengesyorkan untuk anda mencuba permainan ini jika anda merupakan pelanggan Xbox Game Pass ataupun mendapatkannya melalui perkhidmatan tersebut kerana bayaran langganan untuk sebulan adalah lebih murah daripada membeli permainan ini secara terus. Tambahan, ia tidak menyertakan bentuk permainan yang memerlukan anda bermain berulang kali, Bloober Team juga buat masa ini tidak merancang untuk hadir dengan DLC.

Dengan kata lain, The Medium adalah permainan yang sangat sempurna untuk Xbox Game Pass.

The Medium
Rumusan
Permainan Aksi Pengembaraan Yang Menyertakan Penceritaan Menarik, Tetapi Bentuk Permainan Sangat Berulang Dan Prestasi Tidak Menentu
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Rekaan Grafik Yang Baik
Negatif
Bentuk Permainan Meleret
Kadar Kelancaran Tidak Stabil
7

Sohor Kini