Jika anda mencari permainan lain seakan Among Us ataupun versi digital untuk permainan Werewolf, Vest Games telah hadir dengan permainan Eville, iaitu permainan penyiasatan sosial yang mengambil Among Us dan Werewolf sebagai inspirasi.
Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi orang biasa ataupun pembunuh dan seperti biasa pembunuh akan cuba melakukan pembunuhan dan pemain lain akan cuba untuk menyiasat dan mencari pembunuh yang sebenar.
Pemain juga akan diberikan jenis watak yang berbeza dan setiap-nya akan memberi kelebihan di dalam mencari pembunuh ataupun untuk membunuh. Contohnya, Ghost Whisperer yang membolehkan pemain bercakap dengan pemain yang sudah dibunuh ataupun Detektif yang boleh menyiasat dengan lebih mudah.
Permainan ini juga menyertakan kitaran siang dan malam, pada waktu siang pemain yang menjadi orang biasa boleh melakukan pelbagai tugasan untuk mempunyai barangan yang cukup bagi memastikan mereka dapat berada di dalam keadaan selamat pada waktu malam, di mana mereka akan tidur dan pembunuh pula boleh berkeliaran untuk membunuh.
Jika anda berminat, permainan ini boleh dicuba melalui demo yang disertakan bersempena Steam Game Festival yang berlangsung sehingga 9 Februari.