7 Permainan Menarik Untuk Bulan Februari 2021

Kami boleh katakan yang tahun 2021 merupakan tahun yang perlahan untuk pengeluaran permainan video, ini adalah kerana kebanyakan permainan telah ditunda ke lewat tahun ini kerana memerlukan lebih masa untuk pembangunan terutama dengan keadaan pandemik Covid-19 yang tidak pasti bila akan berakhir.

Pada bulan lepas, terdapat tiga sahaja permainan utama yang dikeluarkan iaitu Hitman 3, Atelier Ryza 2 dan juga The Medium. Manakala bagi bulan, terdapat lebih banyak dan kebanyakan adalah permainan untuk Nintendo Switch.

Berikut adalah 7 permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini.

Destruction AllStars

Lucid Games | Sony Interactive Entertainment | PS5 | 2 Februari 2021

Permainan seterusnya yang akan dikeluarkan secara esklusif untuk PlayStation 5, Destruction AllStars mengabungkan sesi permainan battle royale dengan pertempuran menggunakan kereta. Antara perkara unik yang disertakan adalah walaupun tanpa kenderaan sudah dihancurkan, pemain masih lagi boleh bermain sebagai watak biasa tetapi mempunyai pelbagai kelebihan.

Berdasarkan apa yang diperlihatkan buat masa ini, sesi permainan tampak menarik dengan kepelbagaian kebolehan yang diberikan kepada pemain. Namun, sebagai permainan multi-pemain, perkara yang penting adalah ia mendapat jumlah pemain yang mencukupi untuk memastikan sesi permainan yang berkualiti. Dengan ia ditawarkan secara percuma untuk pelanggan PS Plus, ia mungkin tidak akan mempunyai masalah untuk mencari pemain.

Control Ultimate Edition

Remedy Entertainment | 505 Games | PS5, Xbox Series, PC | 2 Februari 2021

Control adalah antara permainan terbaik pada tahun 2019, ia menyertakan bentuk permainan yang menarik dengan rekaan grafik yang menawan. Malangnya, semasa ia dikeluarkan konsol PS4 dan Xbox One tidak dapat memainkan permainan ini dengan baik. Malah di PC juga ia mempunyai pelbagai masalah terutama jika ingin menggunakan ray-tracing.

Hadirnya versi Ultimate Edition, selain menyertakan segala DLC penambahan, ia juga menjanjikan prestasi yang lebih baik. Mereka menyasarkan 60FPS untuk Mod Performance dan 30FPS untuk Mod Graphic yang turut menyertakan ray-tracing. Tawaran naik taraf agak mengecewakan kerana anda perlu membeli semul edisi ini walaupun sudah memilik Control dan kesemua DLC di PS4 ataupun Xbox One. Bagi pemilik PS5, ia sekurang-kurangnya disertakan di dalam penawaran PS Plus.

Nioh 2 / The Nioh Collection

Team Ninja | Koei Tecmo | PC (Nioh 2), PS5 (The Nioh Collection) | 5 Februari 2021

Bagi anda yang sering mencari alasan untuk menyeksa diri dengan bermain sesuatu permainan video. Nioh 2 adalah antara permainan yang sanga bersesuaian. Selepas dikeluarkan hampir setahun lepas untuk PS4, ia akhirnya akan dikeluarkan untuk PC. Sama ada untuk bermain sekali lagi di PC, ataupun tidak pernah mencubanya, ini adalah satu peluang terbaik.

Selain daripada itu Koei Tecmo juga melancarkan The Nioh Collection yang menyertakan Nioh dan Nioh 2 di dalam satu permainan untuk PS5. Ia juga akan menyertakan kualiti grafik yang lebih baik iaitu resolusi 4K, kadar kelancaran sehingga 120FPS, sokongan picu penyesuai dan 3D audio. Kedua-dua ini sudah semestinya satu pengalaman penuh untuk siri Nioh.

Little Nightmares II

Tarsier Studios | Bandai Namco | PS4, Xbox One, Switch, PC | 11 Februari 2021

Little Nightmares mempunyai bentuk permainan seakan Limbo dan Inside iaitu permainan aksi pengembaraan tekaria yang akan memerlukan pemain melalui satu perjalanan di jalan lurus akan tetapi disertakan dengan pelbagai halangan serta tekaria yang perlu diselesaikan. Berbanding dua permainan oleh Playdead, Little Nighmares mempunyai kualiti grafik yang lebih menarik.

Di dalam permainan kedua ini, yang keluar selepas 3 tahun permainan pertama dikeluarkan, pemain akan mengawal watak baharu iaitu Mono, tetapi watak daripada permainan pertama Six, masih akan membuat penampilan akan tetapi dia akan menjadi watak yang tidak boleh dimainkan.

Super Mario 3D World + Bowser’s Fury

Nintendo | Switch | 12 Februari 2021

Ini adalah satu lagi permainan Wii U yang dikeluarkan semula untuk konsol Switch dengan harga penuh oleh Nintendo. Ia sekurang-kurangnya menyertakan satu peringkat baharu iaitu Bowser’s Fury. Adakah, penjualan harga penuh mempunyai justifikasi mencukupi? Mungkin tidak, akan tetapi ia masih lagi permainan yang dinanti-nantikan oleh ramai pemain.

Selain peringkat baharu, versi Switch ini juga akan menyertakan pelbagai mod tambahan yang paling menarik adalah multi-pemain secara dalam talian yang sudah semestinya akan membantu anda untuk bermain bersama rakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Permainan ini juga akan menyertakan penambah-baikkan untuk kelajuan watak dan kawalan kamera, sesuatu yang akan memberikan pengalaman yang lebih baik untuk permainan ini.

Persona 5 Strikers

Omega Force, P-Studios | Atlus | PS4, Switch, PC | 23 Februari 2021

Permainan Persona 5 mungkin akan tiba, mungkin tidak akan tiba untuk Switch, akan tetapi sekurang-kurangnya pemain akan mendapat Persona 5 Strikers yang walaupun menyertakan bentuk permainan yang sangat berbeza dengan permainan asal tetapi ia akan menyertakan penceritaan yang berterusan daripada permainan tersebut.

Kebiasaan genre permainan warriors ataupun musou sering dielakkan kerana ia sangat mudah untuk menjadi terlalu berulang, akan tetapi dengan menyertakan penceritaan yang menarik, ia mungkin satu permainan harus boleh dicuba oleh pengikut siri Persona. Tambahan, ia juga mempunyai dua watak baharu. Namun, hadirnya Persona 5 Royal di Switch adalah sesuatu yang sudah semestinya lebih dinantik-nantikan.

Bravely Default II

Claytechworks | Square Enix, Nintendo | Switch | 26 Februari 2021

Bravely Default adalah permainan yang sering dikatakan jika ditayang mengapa perlu memiliki Nintendo 3DS, ia adalah satu permainan RPG yang sangat unik. Walaupun digelar sebagai Bravely Default II, ia sebenarnya adalah permainan ketiga bagi siri ini selepas Bravely Default yang dikeluarkan pada tahun 2013 dan Bravely Second: End Layer pada tahun 2016.

Permainan ini juga akan memperkenalkan 4 watak baharu iaitu Seth, Gloria, Elvis dan Adelle. Oleh itu, tidak mengapa jika tidak pernah mencuba permainan sebelum ini akan tetapi ia sudah semestinya akan membawa keunikan yang sama. Anda juga boleh mencuba demo percuma yang disertakan melalui eShop.

Sohor Kini