Metal Gear Solid V: The Phantom Pain adalah permainan stealth yang terbaik pernah saya main akan tetapi ia juga adalah satu-satunya permainan Metal Gear yang saya main sepenuhnya. Manakala Hitman bukanlah permainan stealth terbaik, tetapi ia adalah siri yang saya ikut bermula daripada Hitman: Codename 47 lagi.
Namun, permainan terakhir yang saya main adalah pada 8 tahun yang lepas iaitu Hitman: Absolution. Saya tidak pernah mencuba Hitman (2016) kerana ia dikeluarkan secara beberapa episod, pada awalnya saya ingin menantikan kesemua episod dikeluarkan, akan tetapi kerana pelbagai sebab saya tidak pernah mengambil masa untuk mencubanya. Apabila Hitman 2 dikeluarkan, saya juga tidak mencubanya kerana saya tidak ingin melangkaui siri.

Pada bulan lepas, IO Interactive telah melancarkan permainan terbaru untuk siri ini iaitu Hitman 3. Seperkara menarik mengenainya, yang membuatkan saya terus mencuba permainan ini adalah Hitman serta Hitman 2 juga boleh diakses terus melalui Hitman 3, dengan kata lain ia permainan 3 dalam 1.
Ulasan ini akan memfokuskan kepada Hitman 3, akan tetapi saya mengambil masa 30 jam keseluruhan untuk menghabiskan kempen penceritaan Hitman dan Hitman 2 oleh itu anda boleh anggap, ulasan ini adalah untuk trilogi Hitman ini berbanding Hitman 3 sahaja, tambahan perbezaan di-antaranya tidaklah ketara.
Taman Permainan Pembunuh Upahan
Secara ringkas, saya boleh katakan Hitman adalah permainan ‘arked’ untuk menjadi pembunuh upahan. Ia bukanlah simulasi, ataupun mencari cara terbaik untuk melakukan pembunuhan, sebaliknya ia adalah permainan yang terus mendorong, menyertakan pelbagai ruangan dan peralatan untuk saya menjadi kreatif pada masa sama juga memberikan saya peluang untuk memperbaiki keadaan jika sesuatu tidak berlaku yang seperti dirancangkan.
Ini mungkin akan memberikan perasaan yang permainan ini terlalu mudah, akan tetapi bagi saya itu adalah magis untuknya. Jika anda ingin menghabiskan sesuatu tempat dalam masa kurang seminit, anda boleh lakukannya. Jika anda ingin mengambil masa sehingga sejam, ia juga boleh. Dengan kata lain, ia adalah taman permainan untuk pembunuh upahan. Saya boleh memilih untuk melakukan apa sahaja berdasarkan apa yang disertakan.

Hitman juga dihasilkan untuk memenuhi kehendak pelbagai jenis pemain, jika pemain ingin menjumpai sesuatu cara tanpa “diajar”, ia boleh dilakukan. Saya biasanya akan bermain pada awalnya dengan sekadar berjalan dan mencari cara yang kreatif untuk membunuh tanpa melihat pilihan-pilihan yang ada. Ia akan memberikan perasaan puas kerana ia bagaikan saya sendiri menjumpai cara tersebut.
Jika pemain lebih menyukai untuk menyelesaikan misi ataupun cabaran, Hitman juga akan menyenaraikan kesemua cara-cara berbeza yang boleh dilakukan. Ia adalah melalui Objektif dan Mission Stories yang ditetapkan untuk setiap peringkat ataupun kawasan. Jika anda tidak ingin berulang kali mencari cara berlain, sekadar dengan merujuk dua perkara tersebut ia sudah membantu tetapi pada masa sama, saya merasakan ia masih lagi menarik walaupun sekadar mengikut arahan. Ini adalah kerana, arahan diberikan dengan terbuka, contohnya dapatkan sesuatu kostum, dan bergantung kepada pilihan ataupun keadaan semasa, anda boleh dapatkan kostum tersebut dengan pelbagai cara.


Oleh kerana perkara-perkara di atas, anggaplah Hitman sebagai satu permainan Sandbox berbanding permainan aksi pengembaraan. Jika anda sekadar ingin menghabiskan permainan ini dengan secepat mungkin, saya merasakan ia tidak akan berbaloi untuk anda beli tetapi jika anda ingin mencuba pelbagai jenis cara berbeza, ini adalah satu permainan impian.
Penceritaan Klise Tetap Menarik
Sebagai pengisi di antara setiap peringkat/lokasi, Hitman juga menyertakan penceritaan yang memfokuskan kepada kisah mengenai Agent 47 dan Diana Burnwood bekerja dengan organisasi yang dinamakan sebagai ICA. Namun, dengan penglibatan organisasi lain iaitu Providence, mereka mula tidak pasti organisasi mana yang harus diikuti. Ia juga mengembangkan lagi penceritaan mengenai sejarah silam Agent 47.
Penceritaan adalah berterusan untuk trilogi terbaru ini, akan tetapi ia tidak sangat ataupun tidak langsung berkait dengan permainan sebelum ini. Oleh itu, jika anda tidak pernah mencuba mana-mana permainan Hitman, saya cadangkan anda bermula dengan Hitman yang dikeluarkan pada tahun 2016, sekurang-kurangnya watak-watak yang tiba di dalam Hitman 3 tidak terlalu janggal untuk anda dan mengetahui kejadian sebelum ini yang membawa mereka ke misi-misi yang seterusnya. Hitman 3 ada menyertakan ringkasan, dan saya merasakan ia sudah mencukupi untuk tahu serba sedikit mengenainya.


Secara keseluruhan, penceritaan boleh dikatakan adalah klise, apa yang akan berlaku seterusnya mudah untuk diteka akan tetapi ia masih lagi disampaikan dengan menarik. Ada masa, saya ingin menghabiskan sesuatu lokasi dengan cepat, semata-mata untuk mengetahui penceritaan selanjutnya. Setiap watak yang hadir, walaupun tidaklah ramai sudah mencukupi untuk mengembangkan penceritaan dengan baik. Lakonan suara untuk setiap watak juga berkualiti walaupun mempunyai gaya yang biasa bagi filem-filem “spy”.
Namun, saya tidak merasakan yang anda perlu bermain atau membeli permainan ini kerana penceritaan. Ia menarik, tetapi tidak cukup untuk dijadikan sebagai justifikasi untuk anda membelinya. Seperti mana-mana permainan Hitman yang lain, bentuk permainan adalah tarikan utama dan penceritaan adalah perkara kedua sahaja untuk dijadikan pengisian bagi menjadikan sesuatu misi masuk akal.
3 Permainan Dalam 1
Seperti yang saya nyatakan di atas, melalui Hitman 3 anda juga boleh mendapatkan kandungan daripada Hitman dan Hitman 2 untuk dimainkan dengan kualiti yang lebih baik. Ia boleh didapati melalui Access Pass yang boleh dibeli secara berasingan. Jika anda memiliki permainan tersebut sebelum ini, anda boleh dapatkannya secara percuma. Ia adalah satu perkara yang baik terutama untuk saya yang tidak pernah memiliki mana-mana permainan tersebut, kecuali Hitman yang diberikan secara percuma melalui Epic Games Store dan juga PS Plus.

Saya membeli Hitman 3 dan Access Pass untuk Hitman 2 di Epic Games Store, secara keseluruhan ia adalah lebih kurang RM135 sahaja yang bagi saya selepas menghabiskan kesemua trilogi ini, ia adalah satu harga yang sangat berbaloi. Sedikit masalah yang saya perasan dengan bermain ketiga-tiga dalam masa yang dekat, saya tidak merasa terdapat perbezaan yang ketara di antara ketiga-tiga permainan ini. Saya tidak kisah kerana saya menganggapnya ia adalah satu permainan, tetapi bagi pemain yang sudah membeli Hitman dan Hitman 2 sebelum ini, mungkin akan merasakan yang Hitman 3 ini tidak membawa sebarang penambahan yang menjadikan ia lebih baik.
Ia menyertakan kualiti grafik yang lebih baik, dan juga beberapa peringkat yang direka dengan sangat berlainan terutama ada satu lokasi di mana anda boleh menyamar untuk menjadi penyiasat dan cuba menyelesaikan pembunuhan yang berlaku, ia memberikan sesuatu yang baharu kepada permainan ini yang biasanya memerlukan anda untuk membunuh sahaja. Ia juga menyertakan 6 lokasi baharu dan direka dengan lebih baik serta lebih luas terutama lokasi seperti Chongqing di China. Namun, selain daripada itu ia masih lagi satu permainan yang sama. Peralatan yang boleh digunakan juga hampir sama, saya hanya perasan ia menyertakan kamera sebagai peralatan baharu.


Walaupun mengecewakan kerana permainan ini tidak membawa penambahan yang besar, akan tetapi ia masih lagi satu permainan yang baik dan selamat untuk menutup trilogi ini. Dengan kata lain, jika sesuatu yang tidak rosak, jangan pandai-pandai baiki.
Kesimpulan
Hitman 3 ataupun trilogi ‘World of Assassination’ adalah permainan Hitman yang sangat baik. Kepelbagaian cara untuk melakukan pembunuhan adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan untuk diteroka. Namun, pemain perlu menganggap yang ia adalah permainan sandbox berbanding permainan aksi pengembaraan agar tidak kecewa dengan kandungan yang disertakan.
Ia sedikit mengecewakan kerana tidak membawa perubahan yang besar berbanding permainan-permainan sebelum ini tetapi ia adalah satu langkah yang selamat untuk memastikan mereka hadir dengan pengalaman permainan yang baik tanpa merisaukan perubahan terlalu ketara mungkin menjadikan permainan ini terlalu lain sehingga membawa kepada perkara negatif.
Jika anda faham bagaimana dengan permainan ini berfungsi, dan merasakan ia adalah seronok, saya boleh katakan ia adalah permainan yang sangat berbaloi untuk dimainkan.