Microsoft telah berkongsi prestasi kewangan mereka untuk suku kedua bagi tahun fiskal 2020-2021 yang berakhir pada Disember lepas. Bagi bahagian permainan video, ia telah mencatat jumlah pendapatan terbaik di dalam sejarah Xbox iaitu $5 bilion (~RM20 bilion).

Jumlah pendapatan tersebut telah dibantu oleh pelancaran konsol baharu iaitu Xbox Series pada bulan November yang mengikut CEO Microsoft, Satya Nadella ia adalah pelancaran konsol terbaik bagi mereka. Dengan konsol terbanyak terjual untuk bulan pertama pelancaran.

Namun, sejak beberapa tahun lepas, Microsoft tidak berkongsi jumlah sebenar konsol tersebut terjual tidak seperti Sony dan juga Nintendo.

Selain itu, Microsoft juga mengumumkan yang Xbox Live sekarang mempunyai 100 juta pemain aktif dan Xbox Game Pass telah mempunyai 18 juta pelanggan iaitu peningkatan sebanyak 8 juta pelanggan berbanding laporan kami pada April tahun lepas.

Microsoft baru-baru ini telah mengumumkan kenaikan harga untuk langganan Xbox Live Gold akan tetapi membatalkan niat mereka selepas menerima kritikan ramai.

Sohor Kini