Pengeluar Pelayar Opera Membeli YoYo Games – Mengumumkan Opera Gaming

Pengeluar pelayar Opera telah mempertingkatkan fokus mereka di dalam industri permainan video apabila mengumumkan yang mereka mengambil-alih Yoyo Games dan membentuk satu bahagian baharu di dalam syarikat mereka iaitu Opera Gaming. Pengambil-alihan tersebut dilaporkan bernilai $10 juta.

Yoyo Games merupakan pembangun untuk GameMaker Studio 2 iaitu enjin permainan yang memfokuskan kepada permainan menggunakan grafik 2D. Enjin tersebut dikatakan telah mendapat 400 ribu pengguna berdaftar pada tahun 2020. Antara permainan yang menggunakan enjin tersebut adalah Katana Zero, Forager, dan Risk of Rain.

Manakala Opera pula sebelum ini telah hadir dengan pelayar yang khusus untuk sesi permainan video iaitu Opera GX. Antara fungsi yang hadir dengan Opera GX adalah akses kepada pelbagai tetapan untuk mengawal penggunaan CPU ataupun RAM bagi pelayar tersebut agar anda tidak perlu menutup pelayar untuk bermain permainan video.

Krystian Kolondra dari Opera mengatakan yang Opera Gaming akan mempertingkatkan keupayaan Opera di dalam permainan video dan mencari peluang untuk menjana pendapat melaluinya. Beliau juga mengatakan dengan pengambil-alihan Yoyo Gaming mereka tidak akan memfokuskan membangun permainan khusus untuk Opera GX, sebaliknya membentuk komuniti pemain yang menggunakan pelayar tersebut.

Sumber: Amanz

Sohor Kini