Seperti diperlihatkan semasa The Game Awards 2020 lepas, Among Us bakal tiba dengan peta baharu. Minggu ini Innersloth telah berkongsi perkembangan terbaru untuk peta tersebut dan juga permainan Among Us secara keseluruhan.

Peta masih lagi akan tiba pada awal tahun ini dan ia adalah satu peta yang besar dengan pelbagai tugasan serta bilik baharu untuk diteroka. Seperti diumumkan sebelum ini, pemain juga boleh memilih tempat untuk permainan bermula di beberapa pilihan lokasi.

Menjawab mengapa kemaskini untuk Among Us mengambil masa terlalu lama, mereka mengatakan yang sebelum permainan tersebut menjadi popular pada tahun lepas, mereka sudah bersedia untuk berhenti dan beralih kepada permainan lain. Namun kini mereka terpaksa memulakan semula pembangunan dan mereka juga mempunyai 3 orang sahaja pembangun.

Mereka juga cuba untuk tidak menambah jumlah pembangun secara mendadak kerana ia sebenarnya akan mengganggu proses pembangunan kerana pembangun baharu tersebut terpaksa mempelajari terlebih dahulu kod-kod yang Among Us sebelum bersedia untuk menolong pembangunan. Selain itu, jika mempunyai terlalu ramai pembangun akan menjadi masalah jika masalah kewangan berlaku, ia boleh menyebabkan studio ditutup sepenuhnya.

Among Us sudah dikeluarkan untuk Switch, PC, iOS dan Android. Ia juga ditawarkan melalui Xbox Game Pass, versi Xbox akan tiba sekitar tahun ini.

Sohor Kini