Gabe Newell iaitu pengasas Valve dan Steam pada awal tahun lepas telah melakukan percutian di New Zealand, dan selepas berlakunya pandemik Covid-19 beliau terus berada di negara tersebut dan sedang di dalam proses untuk mendapat kerakyatan tetap.
Melalui temubual bersama dengan 1 News iaitu bahagian berita untuk rangkaian Televisyen di New Zealand, TVNZ beliau mengatakan terdapat percakapan di dalam Valve untuk membawa operasi syarikat mereka ke New Zealand terutama kerana New Zealand boleh dikatakan sebagai bebas Covid-19.
Jika pandemik Covid-19 berterusan di negara-negara lain, Gabe Newell juga mengatakan yang ada kemungkinan kejohanan utama untuk permainan mereka seperti Dota 2 The International dan CS:GO Major Championship akan berlangsung di New Zealand.
Manakala apabila ditanya mengenai permainan yang sedang dibangunkan oleh Valve, beliau sekadar mengatakan yang mereka sedang membangunkan beberapa permainan yang akan diumumkan apabila bersedia. Beliau juga mengatakan yang melancarkan permainan adalah perkara menyeronokkan akan tetapi mengumumkan sesuatu sebelum mereka bersedia akan membawa persoalan yang lebih sukar untuk dijawab.
Gabe Newell juga ditanya mengenai Cyberpunk 2077, di mana beliau mengatakan bersimpati dengan CD Projekt kerana terpaksa menghadapi pelbagai kritikan kerana masalah permainan tersebut walaupun ia mendapat reaksi yang positif daripada pemain di PC. Beliau juga mengatakan yang tidak adil untuk “membaling batu” kepada pembangun yang sudah melakukan kerja yang sangat baik untuk mengeluarkan permainan yang rumit dan bercita-cita tinggi ini.
Beliau juga yakin yang CD Projekt Red akan melakukan sebaiknya untuk menambah-baik permainan tersebut kerana mereka sering melakukannya untuk permainan-permainan sebelum ini.
Valve semalam telah didenda oleh Suruhanjaya Eropah kerana melakukan halangan-geolokasi di Eropah bersama dengan lima penerbit iaitu Bandai Namco, Capcom, Focus Home, Koch Media dan ZeniMax.