Suruhanjaya Eropah bahagian anti-monopoli hari ini telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang mereka telah mendenda Valve bersama dengan 5 penerbit permainan iaitu Bandai Namco, Capcom, Focus Home, Koch Media dan ZeniMax sebanyak €7.8 juta (~RM38 juta) kerana melanggar peraturan anti-monopoli mereka.

Valve bersama dengan lima penerbit tersebut didapati bersalah mengamalkan halangan-geolokasi (geo-blocking) untuk penawaran permainan mereka di Steam. Berdasarkan peraturan di dalam Suruhanjaya Eropah, sesuatu barangan termasuk juga barangan digital yang dibeli di satu negara Eropah seharusnya boleh digunakan di negara Eropah yang lain.

Suruhanjaya Eropah mendapati kod permainan yang dibeli di negara Republik Czech, Poland, Hungary, Romania, Slovakia, Estonia, Latvia dan Lithuania tidak boleh ditebus di negara-negara Eropah yang lain. Kes ini adalah berdasarkan permainan yang dijual beli pada tahun 2010 sehingga 2015.

Menurut Suruhajaya Eropah lagi, denda terhadap penerbit telah dikurangkan kerana mereka telah bekerjasama di dalam penyiasatan ini, manakala Steam didenda secara penuh iaitu €1.6 juta kerana mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama.

Berikut adalah pecahan denda yang dikenakan kepada penerbit;

  • Bandai Namco – €340 ribu
  • Capcom – €396 ribu
  • Focus Home – €2.8 juta
  • Koch Media – €977 ribu
  • ZeniMax – €1.6 juta

Sistem halangan-geolokasi adalah sesuatu perkara yang biasa di Steam, ia adalah kerana Steam mempunyai harga tempatan, di mana satu permainan akan dijual dengan harga berbeza mengikut negara. Halangan-geolokasi dilakukan untuk mengelak daripada pemain dari negara lain membeli di negara yang harga lebih murah.

Penawaran harga tempatan juga merupakan sesuatu yang baik kerana ia memberi peluang kepada negara yang mempunyai kadar pendapatan yang rendah untuk membeli permainan dengan lebih murah berbanding negara berpendapatan tinggi. Dengan perkembangan terbaru ini, berkemungkinan yang Steam tidak lagi menyertakan harga tempatan untuk negara-negara Eropah.

Sohor Kini