Mengapa Saya Meluangkan Lebih 100 Jam Bermain Satu Permainan

Semasa negara kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada tahun lepas, saya telah mengambil peluang lebihan masa di rumah, untuk bermain Assassin’s Creed Odyssey yang sudah tertangguh sejak sekian lama. Susulan daripadanya saya telah menulis satu artikel berkaitan dengan “Adakah Assassin’s Creed Odyssey Terlalu Besar?“.

Bulan ini, bukan satu permulaan yang baik untuk tahun 2021, kita sekali lagi memerlukan PKP untuk mengurangkan kes Covid-19 dan saya kembali melakukan kerja daripada rumah dan secara langsung mempunyai sedikit masa lebihan. Jadi minggu pertama PKP, permainan apa yang saya main? Ia adalah dua permainan yang saya sudah habiskan sebelum ini, tetapi masih lagi terus dimainkan iaitu Yakuza: Like a Dragon dan Cyberpunk 2077.

Bagi penceritaan utama, kedua-dua permainan saya sudah habiskannya, bahkan Yakuza: Like a Dragon saya sudah keluarkan ulasan yang anda boleh baca di pautan ini, manakala Cyberpunk 2077 saya masih menantikan untuk ia kembali ditawarkan di PlayStation sebelum ulasan saya dikeluarkan. Jadi mengapa saya masih terus bermain kedua-dua permainan ini?

Saya sendiri tertanya soalan tersebut, dan apabila melihat kembali kebanyakan permainan yang saya bermain lebih 100 jam, adalah permainan yang saya tidak perlu dimainkan selama itu untuk menghabiskannya.

Siri-siri permainan Assassin’s Creed sendiri, kebiasaan akan mengambil 50-60 jam untuk dihabiskan, akan tetapi saya meluangkan lebih 100 jam. The Witcher 3: Wild Hunt juga boleh dihabiskan dalam masa 50 jam, tetapi saya meluangkan hampir 120 jam bermain. Yakuza: Like a Dragon walaupun tidak mencapai 100 jam tetapi saya sudah bermain lebih 20 hingga 30 jam selepas mencapai kredit akhir. Cyberpunk 2077 pula sudah memasuki 100 jam dan saya masih ada banyak perkara lagi untuk dilakukan.

Oleh itu saya cuba untuk mengenang kembali mengapa saya memilih untuk bermain permainan-permainan tersebut sedangkan terdapat pelbagai permainan lain yang saya masih tidak cuba termasuk juga permainan-permainan baharu. Berikut adalah beberapa sebab mengapa saya meluangkan masa bermain permainan yang sama sehingga melebihi 100 jam berbanding bermain permainan baharu;

Permainan Yang Saya Sudah Kenal

Permainan-permainan yang saya terus luangkan masa bermain walaupun sudah menghabiskannya adalah permainan yang kebiasaannya permainan yang saya suka. Mungkin ia bukan permainan terbaik, tetapi ia masih lagi permainan yang saya mempunyai masa yang baik bermain. Oleh kerana itu, kembali bermain permainan yang saya tahu saya akan suka adalah keputusan yang lebih mudah berbanding bermain permainan baharu yang saya tidak pasti lagi sama ada akan menyukainya ataupun tidak.

Benar, saya boleh melihat ulasan, dan cuba mencari permainan yang mendapat sambutan yang baik akan tetapi ia bukanlah semestinya permainan yang saya akan suka. Ia adalah kerana, ulasan adalah masih lagi satu pengalaman orang lain dan ia tidak semestinya sama seperti apa yang saya akan rasakan. Manakala permainan yang saya sudah main, ia adalah pengalaman saya sendiri oleh itu saya lebih mempercayainya berbanding pandangan orang lain.

Saya juga sedar ia adalah perkara yang sama apabila saya mencari filem untuk ditonton di Netflix, contohnya. Berbanding menonton filem baharu, ada masa saya akan membuka filem yang saya sudah tonton beberapa kali sebelum ini, kerana filem baharu tidak semestinya saya akan suka sedangkan filem yang saya sudah tonton saya tahu yang saya akan menyukainya.

Walaupun saya tidak meluangkan masa yang lama bermain permainan yang bersifat “live-service” tetapi saya boleh katakan kerana sebab inilah ramai pemain yang terus dan terus permainan satu permainan yang sama. Tidak kira PUBG, Fortnite, ataupun mana-mana permainan MMORPG, ramai pemain yang hanya meluangkan masa bermain permainan tersebut sahaja, berbanding mencuba permainan baharu.

Kerugian Jika Tidak Mencuba Semua

Saya boleh katakan sebab ini sangat-sangat tepat untuk menggambarkan perasaan saya apabila memikirkan untuk terus bermain Yakuza dan Cyberpunk 2077 ataupun beralih ke permainan baharu. Apabila saya menghabiskan Yakuza, terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang saya tidak sempat habiskan, dan ada juga yang saya tidak sempat cuba. Begitu juga dengan Cyberpunk 2077, walaupun saya melakukan kebanyakan misi sampingan, tetapi terdapat pelbagai aktiviti lain yang saya tidak sentuh, tambahan lagi ia juga menyertakan pengakhiran tambahan jika saya melakukan sesuatu.

Perkara-perkara ini yang menghalang saya daripada membuang permainan tersebut selepas menghabiskannya, dan yang bagaikan mendesak saya untuk terus membukanya dan teruskan bermain.

Ini ditambah lagi dengan permainan seperti Yakuza contohnya, setiap perkara di dalam permainan tidak kira sampingan ataupun utama ia sering berkait. Contohnya, apabila saya melakukan mini-game Ichiban Confections ia memberikan saya duit dengan mudah, yang kemudiannya membolehkan saya meningkatkan tahap senjata. Peningkatan senjata ini juga perlu barangan tertentu yang memerlukan saya melakukan aktiviti lain untuk mendapatkannya. Dari satu perkara ke perkara yang lain ia membuatkan saya terus melakukan pelbagai aktiviti berlain kerana ia disertakan dengan berkait antara satu sama lain.

Manakala Cyberpunk 2077 pula, kebanyakan aktiviti sampingan mempunyai penceritaan tersendiri dan saya sering terkejut dengan pengakhiran sesuatu misi. Ini adalah satu beberan untuk satu misi sampingan, tetapi saya akan jadikannya sebagai contoh ada satu misi yang akan memerlukan ada untuk mendapatkan semula dadah yang dicuri. Selepas menjumpai orang yang mencurinya, dia mengatakan dadah itu diperlukan kerana masalah mental yang dihadapinya. Namun, oleh kerana saya perlu mengembalikan dadah tersebut, jadi saya mengambilnya. Selepas saya meninggalkan rumah orang tersebut, saya terdengar satu bunyi tembakan dan dapati orang tersebut sudah mati kerana bunuh diri.

Jika saya berhenti bermain permainan-permainan ini, saya merasakan kerugian, dan terfikir apa lagi yang saya boleh jumpa jika teruskan bermain. Perasaan ini saya merasakan adalah benar untuk kebanyakan permainan-permainan yang menyertakan pelbagai aktiviti ataupun cerita sampingan.

Perkara Sampingan Menjadikan Permainan Lebih Menarik

Bagi sebab ini pula, saya boleh katakan ia sangat bersesuaian dengan siri permainan Assassin’s Creed, untuk permainan AC bagi beberapa tahun yang lepas, penceritaan dan misi utama tidak membawa sesuatu yang berlainan. Sebaliknya, apa yang membuatkan saya terus bermain AC adalah kepelbagaian aktiviti sampingan yang disertakan. Walaupun ia tidak membawa penceritaan sebaik permainan dunia terbuka oleh CD Projekt Red ataupun Rockstar, akan tetapi ia masih lagi seronok untuk dilakukan.

Andaikata, AC adalah permainan yang menyertakan penceritaan utama sahaja, saya boleh katakan ia akan menjadi permainan yang membosankan dan tidak sebaik dengan permainan yang hadir sekarang. Bahkan, AC adalah antara permainan dunia terbuka yang saya tidak terkejar-kejar untuk menghabiskan penceritaan utama kerana walaupun ada orang yang berkongsi beberan untuknya, ia tidak akan menjejaskan pengalaman saya bermain dan saya juga merasakan yang tiada orang yang akan mengambil masa untuk berkongsi penceritaan AC kerana ia tidak menarik.

Oleh itu, bagi saya yang tidak ketinggalan untuk bermain permainan AC, adalah kerana perkara sampingan yang boleh dilakukan dan ia adalah bahagian yang menjadikan permainan ini menarik, ia juga yang membuatkan saya meluangkan lebih 100 jam bermain permainan tersebut tanpa terlalu memikirkan untuk menghabiskan penceritaan.


Tidak lama dahulu, saya sentiasa berpendapat permainan yang lebih fokus kepada penceritaan, ataupun permainan aksi pengembaraan adalah lebih baik. Ini adalah kerana ia akan memberikan pengalaman bermain yang lebih konsisten, jika saya senaraikan 10 permainan terbaik sepanjang zaman, saya boleh katakan yang kebanyakan adalah permainan aksi pengembaraan dan beberapa sahaja permainan dunia terbuka.

Sekarang saya mula faham mengapa sesetengah pemain lebih menyukai permainan yang anda boleh luangkan masa lebih seratus jam, walaupun ia mempunyai masalah seperti penyampaian penceritaan yang tidak menentu ataupun kandungan yang berulang, namun ia adalah permainan yang anda boleh luangkan masa yang lama dan setiap masa diluangkan adalah menyeronokkan. Sebagai contoh, permainan terbaik saya bagi tahun lepas adalah The Last of Us Part II, sejak menghabiskannya saya masih tidak merancang untuk bermain-nya sekali lagi, tetapi selepas siap menulis artikel ini, saya mungkin akan membuka Yakuza ataupun Cyberpunk 2077.

Sohor Kini