Pada tahun 2019, Niantic iaitu penerbit permainan mudah alih Pokemon Go, Harry Potter Wizards Unite dan Ingress telah memfailkan saman terhadap Global++ yang mengeluarkan versi hack untuk ketiga-tiga permainan tersebut iaitu PokeGo++, Potter++, dan Ingress++.
Permainan tersebut boleh dimainkan secara biasa, bahkan dapat mengakses pelayan Niantic seperti permainan asal, akan tetapi menggunakan versi hack pemain diberikan pelbagai kelebihan, antaranya menukar lokasi.
Semasa kes ini dibicarakan, Global++ telah mengaku salah atas beberapa pertuduhan, antaranya menggunakan kod asal permainan untuk digunakan di dalam versi hack mereka yang secara sendiri melanggar hak cipta permainan tersebut dan menjejaskan pengalaman pemain dan juga reputasi Niantic kerana masalah penipuan yang timbul.
TorrentFreak kemudian melaporkan yang Global++ telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan membayar pampasan sebanyak $5 juta (~RM20 juta) dan tidak lagi mengedarkan sebarang aplikasi yang berkait dengan Niantic.