Skip to main content

Jika sebelum ini Steam telah berkongsi senarai permainan terlaris di platform mereka pada tahun 2020, minggu ini mereka berkongsi pula data penggunaan di Steam sepanjang tahun lepas. Tidak mengejutkan, ia memperlihatkan peningkatan yang sangat mendadak.

Steam mengatakan yang peningkatan sudah bermula sebelum pandemik Covid-19 lagi akan tetapi ia sudah semestinya lebih tinggi apabila lebih ramai pengguna terpaksa berada di rumah kerana perintah kawalan pergerakan yang dilakukan di kebanyakan negara.

Berikut adalah antara data yang dikongsi oleh Steam.

Sepanjang tahun 2020, mereka telah mencatat 120 juta pemain aktif setiap bulan dengan 62.6 juta pemain aktif setiap hari. Rekod permainan serentak tertinggi adalah 24.8 juta. Dari segi jualan pula, terdapat 2.6 juta pembelian baharu setiap bulan dan pada tahun 2020 jumlah jualan meningkat sebanyak 21.4% berbanding tahun 2019. Pemain juga bermain permainan video 50.7% lebih lama berbanding tahun 2019.

Mereka juga berkongsi mengenai acara Steam Game Festival di mana mereka berkongsi pelbagai demo permainan termasuk juga yang masih belum dilancarkan. Pertama kali dianjurkan iaitu Spring Edition, lebih 600 ribu demo diaktifkan, Summer Edition 3.1 juta demo dan Autumn Edition 5.1 juta demo yang diaktifkan.

Pada tahun 2020, penggunaan alat kawalan juga memperlihatkan peningkatan, terdapat 46.6 juta pemain menggunakan alat kawalan berbanding 31.8 juta pada tahun 2019. Ia membawa kepada 1.68 bilion sesi permainan menggunakan alat kawalan iaitu peningkatan sebanyak 66.6% berbanding tahun 2019.

Dengan keadaan pandemik Covid-19 masih tidak berakhir lagi, Steam berkemungkinan yang terus memperlihatkan peningkatan drastik pada tahun ini. Malaysia sendiri sudah kembali melakukan PKP secara penuh pada bulan ini.

Leave a Reply