Returnal adalah permainan seterusnya yang dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 5 selepas Demon’s Soul. Seperti dikongsi sebelum ini, Returnal adalah permainan menembak yang akan meletakkan pemain di dalam gelung masa. Setiap kali pemain terbunuh, akan hidup semula pada awal permainan.

Housemarque iaitu pembangun permainan ini telah berkongsi lanjut mengenai bentuk permainan untuk Returnal, dan boleh dikatakan ia banyak bergantung kepada sistem rawak untuk menjadikan permainan ini menarik.

Pertama, dunia yang akan dilalui oleh pemain akan dicipta secara rawak, dengan kata lain rekaan serta keadaan persekitaran adalah berbeza setiap kali pemain bermain dan ia juga akan berlainan dengan pemain-pemain lain.

Kedua, sebagai permainan menembak, permainan ini akan menyertakan 10 jenis senjata, ia tidak banyak akan tetapi setiap senjata akan terdapat pelbagai kelebihan berbeza dan menurut Housemarque terdapat lebih 90 kelebihan untuk senjata yang diperoleh secara rawak. Selain itu terdapat juga 10 tembakan-alternatif berbeza yang juga akan disertakan secara rawak.

Ketiga adalah pelbagai peralatan yang boleh dijumpai oleh pemain semasa mengembara. Terdapat pelbagai jenis peralatan yang boleh digunakan untuk menyerang dan juga sebagai sokongan. Terdapat juga sesuatu yang dipanggil sebagai Parasite, ia akan memberikan kelebihan tetapi juga hadir dengan kesan negatif.

Melalui penggunaan sistem rawak untuk kesemua perkara di atas, Housemarque ingin permainan ini akan terus dimainkan berulang-ulang kali dan menjadi satu permainan yang tidak mempunyai penamat. Berdasarkan treler dan perkongsian sebelum ini, ia juga menyertakan penceritaan tidak pasti jika penceritaan tersebut akan mempunyai penamat.

Ini ditambah lagi dengan sistem roguelike yang disertakan, seperti yang saya katakan di atas, setiap kali pemain mati mereka akan kembali ke peringkat awal dan pemain tidak akan membawa barangan sebelum ini dan perlu bermula semula. Namun untuk menampakkan kemajuan, pemain boleh mendapat semula peralatan dan setiap kali bermula pemain akan mendapat senjata awal yang lebih baik.

Returnal akan dikeluarkan pada 18 Mac 2021, sebagai permainan eksklusif untuk PS5, ia boleh dikatakan sebagai permainan generasi baharu. Oleh kerana itu, ia juga hadir dengan harga generasi baharu iaitu RM299 untuk edisi biasa.

Sohor Kini